JURULATIH berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee meletakkan misi mencipta perubahan dalam landskap bola sepak tempatan meskipun badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini sedang menempuhi tempoh cukup mencabar.
Dia yang baru sahaja dilantik sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menegaskan, keputusan memikul jawatan itu dibuat kerana mahu menabur bakti.
"Pembangunan akar umbi bola sepak sememangnya mengalir dalam jiwa saya. Disebabkan situasi ketika ini, ia merupakan masa terbaik untuk memberi penekanan terhadap pembangunan bakat muda.
BACA LAGI: Kim Swee bukan jawapan TFC, jadi apa lagi?
BACA LAGI: Kim Swee disebut sudah lapor diri, mulakan tugas Pengarah Teknikal AMD

Masa depan bola sepak tempatan menimbulkan 1,001 persoalan susulan hukuman FIFA ke atas FAM. — Facebook/FAM
"Apabila tawaran tiba, saya tidak berfikir panjang. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini dan sejujurnya, saya tidak mahu memberi perhatian kepadanya," katanya berhubung skandal melibatkan tujuh pemain warisan.
Ini bukanlah kali pertama Kim Swee memainkan peranan dalam arena bola sepak tempatan selepas pernah memikul peranan pengendali skuad belia negara, termasuk di peringkat Bawah 23 Tahun (B-23).
Di peringkat kejurulatihan pula, dia pernah membimbing Sabah FC selama tiga musim sebelum berkelana ke Indonesia dan meneruskan karier sama dengan Persis Solo dan Persik Kediri.
Setelah hampir dua tahun di negara jiran, Kim Swee akhirnya kembali memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak lokal apabila dilantik Pengarah NFDP pada 1 Disember lalu dengan diberikan kontrak tiga tahun.
"Apa sahaja yang berlaku, kita tidak boleh menghentikan program buat pemain belia. Malah, sekali pun terdapat penggantungan, ia tidak akan kekal selama-lamanya.

NFDP yang diperkenalkan pada 2011 menjadi platform untuk mengasah bakat muda dalam negara.
"Bergantung kepada pemain naturalisasi dan warisan hanyalah pendekatan jangka masa pendek, anda tidak boleh untuk terus bergantung kepadanya. Kita perlu fokus terhadap program pembangunan sendiri," katanya.
Kim Swee berkata demikian susulan ketidaktentuan dihadapi susulan hukuman FIFA ke atas FAM atas kesalahan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.
Berdasarkan laporan, terdapat kemungkinan hukuman lebih berat dikenakan, termasuk penyertaan ke dua edisi Piala Asia akan datang serta mana-mana kejohanan anjuran AFC dan FIFA.
Namun, hukuman dikenakan itu bukanlah alasan untuk melupakan program pembangunan dengan Kim Swee dan NFDP komited dalam mengasah bakat muda bagi generasi akan datang.
"Saya tidak akan memberi tumpuan penuh kepada formasi atau falsafah bola sepak. Bagi pemain berumur 13 ke 16 tahun, pendekatan berbeza diguna pakai.
"Prinsip utamanya adalah pembangunan bakat muda. Sasaran kami bukanlah untuk menentukan pihak mana yang betul atau salah, tetapi untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan," katanya. — The Star/T AVINESHAWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
