DI sebalik penjelasan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Isnin bahawa aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan tiada pencerobohan data pengguna, timbul lagi kontroversi baharu berhubung pemilikan sebenar aplikasi itu.
Memetik portal kesihatan CodeBlue, syarikat pembangun aplikasi MySejahtera, Entomo Malaysia Sdn Bhd akan menjual harta intelek dan lesen perisian aplikasi berkenaan kepada MySJ Sdn Bhd (MySJ) pada harga RM338.6 juta.
Merujuk dokumen saman mahkamah oleh salah satu pemegang saham MySJ, P2 Asset Management Sdn Bhd, laporan itu menyebut jualan hak tersebut adalah untuk tempoh sehingga 2025.
Entomo sebelum ini dikenali sebagai KPISoft Malaysia Sdn Bhd, yang membangun dan memiliki perisian yang dipakai pada aplikasi MySejahtera.
KPISoft yang ditubuhkan pada 2010 kemudian menukar namanya kepada Entomo pada 24 Februari 2021.
Memetik dokumen mahkamah, CodeBlue melaporkan KPISoft memberi MySJ hak untuk menggunakan perisian aplikasi MySejahtera.
"Begitupun, KPISoft mengekalkan pemilikan perisian MySejahtera. Ini bermaksud kerajaan tidak pernah mempunyai pemilikan terhadap MySejahtera," kata ketua editor CodeBlue, Boo Su-Lyn menerusi satu ciapan pada Selasa.
CIAPAN Su-Lyn berhubung pemilikan MySejahtera. — Twitter
Portal itu melaporkan lagi bahawa maklumat yang terdedah dalam pertikaian mahkamah antara pemegang saham MySJ terkait dengan kontroversi yang timbul berhubung aplikasi MySejahtera susulan pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Isu yang berbangkit dalam pendengaran PAC ialah berkenaan kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk MySejahtera.
Pada pendengaran itu, PAC dimaklumkan aplikasi itu dibangunkan untuk kerajaan tanpa kontrak dan pembangunnya sudah menjual aplikasi berkenaan kepada MySJ.
Ini memaksa KKM untuk berunding terus dengan MySJ dan tidak melakukan tender terbuka seperti kebiasaan untuk projek bernilai tinggi.
PAC yang bertanggungjawab memantau ketelusan perbelanjaan kerajaan melihat ini sebagai amalan yang buruk.
MySJ ditubuhkan pada 23 September 2020, hampir lapan bulan selepas Covid-19 melanda Malaysia. Kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan bermula Mac 2020 dan sebulan selepas itu memperkenalkan penggunaan aplikasi MySejahtera.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendesak kerajaan menjelaskan kenapa aplikasi MySejahtera tidak dikawal selia oleh KKM sebaliknya dijual kepada syarikat swasta, sehingga membangkitkan isu ketelusan dan keselamatan melibatkan data peribadi rakyat.
Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan kerajaan tidak menjual aplikasi itu dan memberi jaminan data peribadi rakyat yang terkandung dalamnya selamat.
SEBAHAGIAN komen netizen terhadap isu pemilikan MySejahtera. — Twitter
Keraguan masyarakat berhubung isu pemilikan MySejahtera menyebabkan ada sebahagian yang mahu memadam aplikasi berkenaan daripada telefon bimbit mereka.
"That's it I'm deleting MySejahtera," ciap pengguna Twitter, Effi Saharuddin.
Seorang lagi pengguna Twitter, Jalal Misai Akaun Baru turut meluahkan kekecewaan terhadap MySejahtera.
"Geram lepas baca info pasal MySejahtera di Twitter, pak cik terus uninstall aplikasi pagi tadi. Masa nak masuk 7-Eleven, kena muat turun (download) semula. Staf dia tak bagi masuk kalau tak scan (imbas)," katanya.
Pengguna Twitter, Ern Sern memberitahu, memadam aplikasi MySejahtera daripada telefon pintar tidak berguna kerana data peribadi sudah tersimpan di dalam server.
"Anda perlu memadam akaun itu atau format semula server. Jika data itu disulitkan dan kunci kepada penyahsulit tidak tersedia, maka kita tidak perlu bimbang (pencerobohan)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram