EXCO Armada BERSATU Malaysia, Abdul Halim Md Nayan mendesak agar Hospital Parit Buntar yang baru mula beroperasi pada 3 September lalu agar berfungsi sepenuhnya.
Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Khamis, dia yang juga merupakan Ketua Armada BERSATU Parit Buntar meluahkan kekecewaan kerana majoriti perkara asas di fasiliti kesihatan itu masih perlu diperkemaskan berdasarkan maklum balas diterima.
"Saya menerima aduan bahawa hospital baharu masih belum ada perkhidmatan rawatan pesakit luar (OPD), sedangkan inilah perkhidmatan paling mendesak dan paling penting untuk rakyat setiap hari.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak peduli 'off day', paramedik guna jaket kulit selamatkan budak perempuan 7 tahun
BACA LAGI: [VIDEO] Bakal suami terlibat kemalangan, pengantin teruskan akad nikah di hospital Kelantan

Halim mendesak agar hospital baharu di Parit Buntar dipersiapkan secara lengkap.
"Akibatnya, pesakit terpaksa berpatah balik dan mendapatkanrawatan di Klinik Kesihatan yang sudah sedia sesak, sempit dan tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit," katanya.
Kekurangan di hospital baharu itu akan membebankan pesakit yang terdiri daripada pelbagai golongan selain menghadapi penyakit bergejala dan mudah berjangkit.
Malah, dalam menampung jumlah pesakit yang tinggi, pihak pengurusan terpaksa mendirikan khemah yang bagaimanapun tidak selesa terutamanya ketika waktu panas.
Jelas Abdul Halim lagi, masalah fasiliti terhad turut menyukarkan orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan gigi, tetapi terpaksa berkunjung ke hospital lama.

Pesakit masih perlu berkunjung ke hospital lama Parit Buntar untuk menerima rawatan gigi.
Bagaimanapun, ketiadaan farmasi memaksa pesakit untuk berkunjung ke hospital baharu dengan hal sedemikian akan membebankan mereka yang kurang sihat dan tidak mempunyai pengangkutan sendiri.
"Lebih penting, jika berlaku kes kecemasan atau trauma, petugas rawatan gigi terpaksa bergegas ke hospital baharu bagi melengkapkan rawatan terhadap pesakit.
"Persoalannya, sampai bila keadaan sebegini harus berterusan? Hospital baharu ini sepatutnya menyelesaikan isu kesesakan dan meningkatkan keselesaan rawatan, bukannya menambah kesulitan kepada mereka yang datang untuk mendapatkan bantuan kesihatan," katanya.
Isu keselamatan turut dibangkitkan Exco Armada BERSATU itu kerana laporan diterima menyatakan tiada pengawal keselamatan ditempatkan sehingga berlaku kejadian pecah masuk.

Isu keselamatan turut dibangkitkan pengguna hospital baharu di Parit Buntar.
Dalam menghalang kes sebegitu berulang, staf hospital terpaksa menguruskan pagar utama yang bukan sahaja membebankan, malah mendedahkan petugas kepada risiko keselamatan.
"Saya melihat kesemua isu yang dibangkitkan ini menggambarkan bahawa hospital baharu ini masih belum memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan di sini setiap hari.
"Hospital bukan sekadar bangunan baharu yang cantik dipandang. Hospital ialah tempat rakyat berharap, bergantung dan mendapatkan rawatan yang terbaik," katanya.
Abdul Halim turut memohon agar kerajaan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan isu berkenaan secara serius dan menyeluruh agar penduduk setempat menikmati manfaat secara menyeluruh.
Setakat berita ini ditulis, tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak hospital berkenaan berhubung isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
