CALON pemain warisan yang sedang beraksi di saingan Liga Semi-Pro A1, Anuar Ceesay menjadi antara tumpuan musim ini selepas cemerlang bermain untuk UM Damansara.
Anuar mencuri tumpuan di pentas lebih besar ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), apabila meledak dua gol pada minit ke-66 dan ke-74, meskipun UM Damansara tewas 3-5 kepada juara Liga Super itu.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, Anuar didakwa memiliki darah campuran Malaysia-Inggeris dan Gambia dengan dia difahamkan berasal dari Wales dan dibesarkan di London, England.
BACA LAGI: Bukan lagi Selangor, Skuad Jang destinasi terbaik 3 bintang Liga A1 jika mahu ‘naik pangkat’
BACA LAGI: Bintang warisan digantung FIFA kekal jaga stamina, sertai larian komuniti di Sepanyol
Walaupun belum ada sebarang pengesahan mengenai status kewarganegaraan Anuar, pemain berkenaan semakin memberi petunjuk mengenai sisi darah Malaysia kepada penyokong tempatan.
Menerusi perkongsian di Instagram, Anuar berkongsi beberapa foto kehidupannya di tanah air dengan dua gambar yang dimuat naik pemain berusia 22 tahun itu menarik perhatian mengenai status warisannya.
Pemain yang boleh beraksi di posisi sayap dan tengah berkenaan memuat naik gambarnya menziarah kubur Allahyarham neneknya, selain foto dia memandu kereta nasional iaitu Perodua.
Sebelum ini, Anuar pernah mendedahkan bahawa ibunya mempunyai keturunan Melayu daripada arwah neneknya. Dia menjelaskan bahawa neneknya merupakan rakyat Malaysia sepenuhnya dan mereka rapat ketika menetap di London.
Pemergian neneknya pada dua tahun lalu memberi kesan mendalam kepada Anuar, sekali gus mengingatkan pemain berkenaan bahawa asal-usul keluarganya wajar dihormati.
Sementara itu, foto Anuar memandu kereta Perodua semakin mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain warisan yang bangga dan tidak kekok menggunakan produk tempatan.
Sebelum ini, Nooa Laine yang juga merupakan pemain warisan turut menggunakan kereta lokal iaitu Proton ketika gimik pengenalannya diumumkan sebagai pemain Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
