Lepas sah panggil semula Safuwan, Selangor didesak tagih kembali khidmat import Afrika


  • Podium
  • Isnin, 08 Dis 2025

Safuwan akan mengisi kekosongan besar ditinggalkan dalam barisan pertahanan skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

SELEPAS menghabiskan tempoh enam bulan secara pinjaman bersama Lion City Sailors di Singapura, Safuwan Baharudin diumumkan bakal kembali ke Selangor FC tidak lama lagi.

Bek tengah itu kembali ke negara kelahirannya pada jendela perpindahan lalu dengan keputusan itu sejak awal lagi ditolak penyokong Merah Kuning.

Ini kerana pemain berpengalaman itu merupakan nadi utama di benteng pertahanan pasukan selain memikul peranan kapten pada musim 2024/25 berikutan pemergian Brendan Gan.

BACA LAGI: Safuwan Baharudin boleh jadi penentu musim Gergasi Merah

BACA LAGI: Tak dapat minit di Singapura, dengarnya Safuwan Baharudin kembali ke Selangor

Safuwan memilih untuk menyertai Lion City Sailors secara pinjaman. Agensi

Namun, Safuwan masih memilih untuk menyertai Lion City Sailors dengan ketiadaannya menyaksikan kehilangan besar dalam barisan pertahanan skuad Gergasi Merah.

Untuk rekod, pemain kebangsaan Singapura tersebut hanya mencatatkan enam penampilan bersama juara bertahan Liga Perdana Singapura itu, termasuk dua kali diturunkan di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two

Keputusan untuk mendapatkan semula khidmatnya menerima sokongan penuh kerana peminat yakin kelibat pemain berusia 34 tahun itu dapat menyelesaikan isu kerapuhan benteng Selangor FC.

Tetapi, pengumuman itu sahaja belum cukup untuk memuaskan hati penyokong yang mendesak agar pihak pengurusan memanggil semula Alex Agyarkwa dari Negeri Sembilan FC.

"Safuwan Baharudin dah balik, selepas ini Alex pula. Jadi, boleh gilirkan pemain untuk liga, Piala Malaysia dan Piala Shopee," kata NasH AriQ.

Alex mula meraih rentak sejak dipinjamkan ke skuad Jang dari awal musim. Facebook/Negeri Sembilan FC

"Boleh bawa balik Alex sekali dan jangan lupa, pasukan masih lagi gagal dari segi struktur teknikal," kata Jojo Kopeio.

"Masih lagi geram, sepatutnya kekal terus untuk aksi penting, lagi-lagi dalam ACL Two. Tetapi, bila dah jadi begini, baru panik nak panggil balik. Safuwan sudah, selepas ini panggil semula Alex," kata Adam Fiq 7.

Musim lalu, pemain dari Ghana itu beraksi secara konsisten pada awal musim sebelum kecederaan dalam perlawanan akhir Piala FA menyaksikannya disisihkan bekas jurulatih, Katsuhito Kinoshi.

Menyedari peluang semakin terhad, Alex kemudian menyertai Negeri Sembilan FC yang dikendalikan Nidzam Jamil dengan kedua-duanya pernah bekerjasama dalam skuad Gergasi Merah.

Perpindahan itu jelas membuahkan hasil, termasuk kepada pemain terbabit yang berjaya meletakkan diri sebagai tonggak skuad Jang dengan lapan penampilan direkodkan.

Peningkatan dari segi prestasi itu membolehkannya menjadi komponen penting dalam pasukan bimbingan Christophe Gamel bagi separuh kedua musim 2025/26 dalam misi Selangor FC merebut slot ke ACL Two sekali lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram