SABAH FC menunjukkan peningkatan apabila tiada masalah menumbangkan PDRM FC 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang, Selangor pada Sabtu.
Kejayaan berkenaan membolehkan skuad Sang Badak berkenaan melakar kemenangan kedua pada musim ini, sekali gus berhasil menghimpun 10 mata selepas 10 perlawanan.
Kemenangan besar 4-1 berkenaan memberikan kelegaan kepada pengurusan Sabah FC dan penyokong, selain boleh menambah momentum positif menjelang baki perlawanan Liga Super.
BACA LAGI: Diangkat sebagai titik kebangkitan Sabah, Kim Swee antara ikon Sang Badak kenang jasa Bung Moktar
BACA LAGI: Bukan sekadar 3 mata, aksi hadapi PDRM ibarat pemanas badan Sabah menjelang final Piala FA
Di sebalik kemenangan kedua di bawah kendalian Jean Paul de Marigny itu, muncul berita kontroversi apabila difahamkan pengendali Sang Badak itu didakwa bersikap rasis terhadap tonggak tengah PDRM FC, Fadi Awad.
Dakwaan berkenaan dibuat oleh Fadi menerusi suatu hantaran di laman Insta Story pada Sabtu yang mengatakan bahawa pengendali dari Australia berkenaan melemparkan kata-kata berbaur perkauman terhadapnya.
"Setiap kali kami (PDRM FC) bermain menentang Sabah, sama ada di tempat sendiri atau tempat lawan, sentiasa ada rasa saling menghormati antara kedua-dua pasukan.
"Tetapi hari ini (Sabtu), jurulatih mereka tidak menghormati saya di depan semua orang, menggunakan bahasa yang tidak sesuai dan tidak mencerminkan nilai Sabah FC," katanya.
Malah, pemain kebangsaan Jordan itu menegaskan bahawa Jean Paul perlu sedar tindakannya hanya mencemarkan imej Sabah FC, sebuah kelab yang selama ini sangat dihormatinya.

Tangkap layar Insta Story Fadi.
"Saya benar-benar berharap beliau memahami bahawa Sabah itu lebih besar daripada mana-mana individu, dan kelab itu telah meraih penghormatan ramai termasuk saya sendiri. Bersikap rasis itu perbuatan yang bodoh," jelasnya.
Hantaran itu turut dikongsi semula di laman Instagram rasmi PDRM tidak lama kemudian, sekali gus membuat dakwaan Fadi Awad semakin tular sementara menunggu penjelasan daripada Jean Paul.
Situasi pemain menjadi mangsa rasis ini bukan kali pertama berlaku dalam saingan Liga Malaysia susulan sebelum ini ada juga beberapa tonggak terutama bintang import mendapat layanan sama.
Misalnya, Pape Diakita yang sebelum ini beraksi untuk Terengganu FC pernah menyuarakan isi hatinya mengenai isu rasis apabila dilontarkan kata-kata berbaur perkauman oleh penyokong Melaka United pada musim 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
