Andai dapat pikat bekas bintang Spurs, DPMM ikut sejarah 3 kelab Liga Super cuba ubah nasib sekelip mata


  • Podium
  • Sabtu, 22 Nov 2025

Selain Hotspurs, Onomah juga pernah mewakili Aston Villa. — Agensi

KELAB jemputan Liga Super, DPMM FC dilaporkan sedang merombak perancangan pasukan apabila merancang membawa masuk pemain baharu menjelang jendela perpindahan kedua susulan prestasi suram dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Setakat lapan perlawanan, pasukan dari Brunei itu hanya mencatat satu kemenangan, di samping dua seri dan lima kekalahan, yang menyaksikan mereka terperosok di kedudukan ke-11 Liga Super. 

Prestasi hambar itu turut mencetuskan pelbagai kritikan dan rungutan di ruangan komen media sosial rasmi kelab, dengan ramai penyokong menuntut perubahan segera bagi mengelakkan DPMM FC terus ketinggalan dalam saingan liga.

BACA LAGI: Bukan lagi Selangor, Skuad Jang destinasi terbaik 3 bintang Liga A1 jika mahu ‘naik pangkat’

BACA LAGI: [VIDEO] 'Baru tahu susahnya Liga Super', musim pertama ajar penyerang buruan Perak 'sesuatu'

Tidak mahu terus menjadi 'pasukan belasahan', pengurusan DPMM FC difahamkan sedang menilai beberapa pilihan pemain import berprofil tinggi untuk memperkukuh skuad bagi saingan pusingan kedua.

Menurut laporan Instagram Sportagraphy, DPMM FC kini dikaitkan dengan dua pemain berpengalaman Eropah iaitu bekas penjaga gol PSV Eindhoven, Eloy Room serta bekas pemain tengah Tottenham Hotspur, Josh Onomah. 

Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha serius pasukan berkenaan untuk memperbaiki kedudukan liga dan meningkatkan daya saing mereka menjelang baki musim 2025.

Ini bukan kali pertama pasukan bergelut seperti DPMM melaburkan wang untuk pemain berkualiti, kelab itu hakikatnya mengikut jejak tiga kelab bergelut sebelum ini yang mendapatkan khidmat bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi melonjakkan prestasi pasukan masing-masing.

1) KL City (Giancarlo Gallifuoco)

Gallifuoco merupakan pemain akademi Spurs. — Agensi

Kuala Lumpur (KL) City membuat pelaburan pada musim 2021 apabila membawa masuk pertahanan, Giancarlo Gallifuoco yang ketika itu tiba dengan profil kukuh berikutan pernah beraksi dengan Tottenham Hotspurs. 

Keputusan skuad Warga Kota membawa masuk Gallifuoco bagi membantu kelab berkenaan menghadapi musim pertama mereka dalam Liga Super Malaysia sejak dinaikkan pangkat daripada Liga Perdana Malaysia.

Tahun pertama yang cukup cemerlang buat kelab Lembah Klang itu apabila skuad Warga Kota membuat kejutan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT), sekali gus menjadi juara Piala Malaysia 2021.

Trofi keempat Piala Malaysia yang diperolehi KL City itu sekali gus menaikkan nama Gallifuoco sebagai salah seorang pertahan import terbaik Liga M ketika musim berkenaan.  

Setia bersama KL City selama kira-kira lima tahun memberi pengalaman dan kenangan indah buat bek berusia 31 tahun itu apabila turut membantu Warga Kota muncul naib juara Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023.  

2) Sabah FC (El Hadji Diouf) 

El-Hadji beraksi untuk Liverpool dari musim 2002 hingga 2005. — Agensi

Sembilan tahun lalu, pasukan Sabah FC yang ketika itu dikenali sebagai Sabah FA, juga pernah mendapatkan khidmat bekas penyerang EPL iaitu bintang Liverpool, El Hadji Diouf.

El Hadji yang ketika itu berstatus ejen bebas ditandatangani untuk membantu skuad Borneo tanah ari berkenaan baru sahaja bermain dalam Liga Perdana dan naik pangkat ke Liga Super.

Untuk rekod, selain bermain untuk Liverpool, pemain yang sudah bersara itu pernah beraksi untuk Bolton Wanderers, Sunderland Blackburn Rovers dan Leeds United ketika itu.

Diouf bermain selama semusim bersama Sabah FC pernah mencetuskan kontroversi apabila memuji JDT serta menyatakan secara terbuka mahu menyertai kelab Harimau Selatan itu tanpa sebarang bayaran walaupun masih menyarung jersi kelab Borneo tersebut.

Disebabkan sikap tidak profesionalnya, skuad The Rhginos menarik balik lilitan kapten dan tidak menyambung kontrak pemain itu pada musim berikutnya. 

3) Kim Do-heon (NSFC) 

Do-heon bermain untuk West Brom dari musim 2008 hingga 2009. — Agensi

Bekas pemain tengah Korea Selatan, Kim Do-heon yang pernah mencipta nama dalam saingan Asia dan Eropah, turut mewarnai pentas Liga Malaysia apabila menyertai Negeri Sembilan dari 2017 hingga 2019.

Pemain berusia 40 tahun itu sebelum ini menikmati karier cemerlang bersama Suwon Bluewing tampil dalam 200 perlawanan serta menjaringkan 22 gol dan 16 bantuan jaringan, menjadikannya antara watak penting kelab Korea Selatan tersebut.

Do Heon turut pernah merasai pengalaman beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama West Bromwich Albion selepas dia merekodkan dua gol dan satu bantuan jaringan dalam 26 penampilan.

Namun, ketika bersama Negeri Sembilan, sumbangannya lebih terhad apabila hanya beraksi dalam 11 perlawanan, selain mencatat dua bantuan jaringan sepanjang tempoh bersama skuad Rusa.

Walaupun tidak meninggalkan impak besar di Liga Malaysia, Do Heon tetap dikenang sebagai antara nama berprofil tinggi yang pernah menghiasi kancah Negeri Sembilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram