Nafi risiko obor-obor rosakkan pelancongan Langkawi, pengamal perubatan seru langkah mitigasi babit semua pihak


  • Massa
  • Khamis, 20 Nov 2025

Insiden melibatkan kematian kanak-kanak yang disengat obor-obor di Langkawi menimbulkan kegusaran.

KEMATIAN kanak-kanak Rusia berusia dua tahun akibat disengat obor-obor ketika bersama-sama keluarga di Langkawi, Kedah pada Sabtu lalu membuka mata orang ramai mengenai risiko dibawa haiwan terbabit.

Meskipun serangan haiwan akuatik itu kerap didengari di luar negara, berita sedemikian boleh dikatakan sesuatu yang asing di perairan tempatan.

Malah, risiko insiden sedemikian berulang juga adalah tinggi selepas Jabatan Perikanan Kedah pada Rabu mengesahkan kehadiran obor-obor kotak di Langkawi.

BACA LAGI: Anakanda Sultan Perak antara 40 mangsa disengat obor-obor di Teluk Senangin

BACA LAGI: Kanak-kanak warga Perancis maut disengat obor-obor di pantai Teluk Nipah

Kesan sengatan obor-obor yang mengorbankan kanak-kanak berusia dua tahun. Facebook/Info Kemalangan Langkawi

Jumlah yang dikesan sekitar perairan kepulauan berkenaan itu dikhuatiri boleh mengundang risiko terhadap pelancong jika disengat dan tidak menerima rawatan kecemasan segera.

Kenyataan itu sekali gus mengundang kegusaran terhadap orang ramai yang berkemungkinan besar tidak akan memilih pulau itu sebagai destinasi pelancongan dalam masa terdekat.

Hal tersebut disuarakan seorang pakar perubatan, Dr Muhammad Na'im Ab Razak di laman Facebook yang menyatakan kematian kanak-kanak berkenaan wajar membuka mata semua pihak berhubung isu terbabit.

Jelasnya, kes melibatkan sengatan obor-obor tidak melibatkan racun kerap berlaku, termasuk di Langkawi, namun tidak semua daripadanya perlu direkodkan dengan ini menyukarkan usaha mitigasi dan analisis.

Dr Muhammad Na'im memberi ulasan berhubung impak kes sengatan obor-obor terhadap pelancongan Langkawi. Facebook/Muhammad Na'im Ab Razak

"Langkah mitigasi harus menggunakan pendekatan masyarakat keseluruhan merangkumi kerjasama agensi dan kerajaan. "Di pihak kerajaan, peranan utamanya ialah memastikan rangkaian liputan perubatan mencukupi.

"Mereka perlu berkebolehan bertindak balas terhadap panggilan kecemasan dalam masa yang pantas. Hospital pula harus dilengkapi dengan alat resusitasi yang memadai serta bekalan antivenom yang mencukupi," tulisnya.

Pengamal perubatan itu merupakan individu yang layak berkata mengenai hal berkenaan kerana merupakan felo dalam bidang Perubatan Kecemasan dan Trauma, Wilderness dan Extreme Medicine dengan pengkhususan dalam Perubatan Selaman dan Hiperbarik serta Toksinologi Marin khususnya sengatan obor-obor berbisa.

Tidak terhenti di situ, Na'im turut menegaskan agensi lain seperti kementerian pelancongan dan keselamatan juga perlu terlibat dalam mengenal pasti kawasan dipenuhi haiwan laut berkenaan.

Papan tanda amaran boleh menimbulkan rasa waspada terhadap orang ramai. Agensi

Ini boleh dilakukan dengan memasang jaring keselamatan, papan tanda serta menyediakan pondok rawatan kecemasan yang boleh digunakan sekiranya terdapat kes sedemikian.

Pelancong juga boleh memainkan peranan dalam mengecilkan risiko kes sebegitu berulang dengan mengelak untuk bermandi-manda di kawasan dipenuhi obor-obor.

"Kesimpulannya, mengakui kewujudan obor obor kotak tidak akan merosakkan industri pelancongan. Yang merosakkan industri ialah penafian risiko dan kegagalan mengambil langkah mitigasi.

"Pelancong hari ini jauh lebih bijak. Mereka tidak lari daripada destinasi yang berisiko, tetapi mereka akan lari apabila tidak diberi maklumat yang jujur dan tidak melihat sebarang usaha keselamatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram