Pasangan Asia-Eropah tergamam, hospital Brazil rujuk bayi ikut warna kulit, bukan nama


  • Bonda
  • Rabu, 19 Nov 2025

Pengalaman berbeza seorang wanita ketika melahirkan anak di sebuah hospital di Brazil. — Gambar hiasan

SETIAP negara sememangnya mempunyai dasar dan sistem tertentu dalam pengurusan kelahiran bayi.

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi pengalaman mencuit hati pada masa sama mengejutkan ketika melahirkan anak di sebuah hospital di Brazil.

Menerusi perkongsian pengguna akaun Instagram @inggridays, anaknya dilahirkan pada tengah malam sekali gus menyebabkan proses dokumentasi hanya dapat dilakukan keesokan harinya.

BACA LAGI: Anak baru 7 tahun meraung, mengadu dibuli kawan sampai trauma nak ke sekolah

BACA LAGI: Bisnes bebas hutang, Black Hanifah keluar modal lebih RM3 juta bangunkan vila di Langkawi

 

 

Menurutnya, cara pengurusan pihak hospital di negara itu sedikit berbeza dan memberi kejutan padanya yang merupakan warga Indonesia.

"Soalan pertama yang jururawat tanya selepas melahirkan bukanlah nama tetapi warna kulit bayi.

"Saya dengan suami terdiam dan terkejut sambil memproses kejadian ini. Kami tertanya-tanya sama ada ini racist (sentimen perkauman) atau tidak," ceritanya.

Melihat reaksinya itu, jururawat tersebut bagaimanapun secara bersahaja menjelaskan bahawa soalannya merupakan prosedur biasa di Brazil.

Malah, beliau turut memberi contoh dengan menunjukkan warna kulit suaminya sebagai kategori branco (putih) dan dirinya sebagai pardo (campuran).

Ternyata, memasukkan kategori warna atau kaum dalam dokumen rasmi sememangnya prosuder standard di Brazil.

Penilaian itu dilakukan berdasarkan penampilan fizikal dan bukanlah asal-usul genetik serta digunakan secara meluas dalam pelbagai proses pentadbiran.

Secara umum, Brazil menggunakan lima kategori utama dalam dokumen peribadi:

1. Branco (putih) untuk keturunan Eropah

2. Pardo (campuran) untuk gabungan Eropah, Afrika dan/atau pribumi

3. Preto (hitam) untuk keturunan Afrika

4. Amarelo (kuning) untuk keturunan Asia seperti Cina, Jepun dan Korea

5. Indigena untuk penduduk asli Amerika Selatan

Pasangan itu akhirnya memilih kategori branco untuk anak perempuan mereka berdasarkan warna kulit anak sulung mereka yang cerah.

Secara umumnya, di Eropah dan Asia ia sememangnya menjadi isu sensitif dalam kalangan masyarakat, namun tidak di Brazil yang bersifat lebih terbuka terhadap perbezaan kaum dan etnik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram