SEORANG kanak-kanak lelaki warga Perancis meninggal dunia selepas disengat obor-obor di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, Perak pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, mangsa yang berusia lima tahun disengat obor-obor di perut, tangan kiri dan kaki kiri.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Pangkor, Perak.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira pukul 7.28 malam oleh petugas klinik.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa didapati bersama keluarganya datang ke Pulau Pangkor untuk melancong pada Isnin.
"Kanak-kanak itu bersama keluarganya kemudian ke pantai berkenaan untuk mandi pada pukul 6.15 petang dan tidak lama selepas itu tiba-tiba mangsa menjerit kesakitan.
"Orang awam berada berhampiran membawa kanak-kanak berkenaan ke tepi pantai dan mendapatinya terkena sengatan obor-obor.
"Ketika dibawa ke darat, mangsa tidak sedarkan diri dan keluarganya membawa ke Klinik Kesihatan Pangkor," katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah (dalam kes ini) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram