Gambar pasport pun kurang laku, syukur ada 'abam polis' bantu sambung hayat studio foto tertua di KL


  • Bisnes
  • Khamis, 20 Nov 2025

Anggota dan pegawai polis antara pelanggan yang masih setia menggunakan perkhidmatannya. — Agensi

MESKIPUN dimamah usia, ia sesekali tidak mematahkan semangat dan ketekunan Low Kok Kee untuk menguruskan perniagaannya di tengah-tengah kesibukan ibu kota.

Tepat pukul 10.15 pagi beliau sudah bersedia untuk membuka pintu studio kecilnya setiap hari yang terletak di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Ia juga menjadi rutin harian lelaki berusia 81 tahun itu yang sentiasa dilakukan sejak lebih setengah abad.

BACA LAGI: Bisnes bebas hutang, Black Hanifah keluar modal lebih RM3 juta bangunkan vila di Langkawi

BACA LAGI: Percaya konsep kongsi rezeki, bisnes Bang Joni Kopitiam tawar menu 'mesra poket' pelajar UKM

Kok Kee masih gigih meneruskan perniagaan pada usia 81 tahun. — Agensi/ CNA

Merupakan studio foto tertua yang masih mampu bertahan lama di kota raya, Kok Kee tidak menafikan bahawa kedainya kini semakin sepi.

Bercerita tentang permulaan langkahnya dalam dunia perniagaan, beliau mendedahkan bahawa studio Foto Pak Tai itu merupakan legasi daripada pemilik asal yang sudah meninggal dunia.

"Saya bekerja di studio ini dan pemiliknya sudah meninggal dunia, jadi saya ambil keputusan untuk ambil alih perniagaannya.

"Saya teruskan bisnesnya sejak 1970 hingga sekarang, dengan secara keseluruhannya tempoh perniagaan ini sudah bertahan selama 55 tahun," katanya.

Seiring dengan perkembangan teknologi, Kok Kee tidak menolak bahawa permintaan mengambil gambar di studio semakin berkurang sejak wujudnya telefon pintar.

Katanya, ia sekali gus membuatkan orang ramai terlalu bergantung kepada kecanggihan komputer dan gajet pintar.

Penggunaan telefon pintar menjadi cabaran dalam industri perniagaan studio. — Agensi/ CNA

"Ramai lebih gemar ambil gambar guna telefon pintar, jadi agak sukar bagi kedai atau studio gambar seperti ini untuk bertahan sekarang.

"Zaman 70 hingga 80-an, kita selalu ambil gambar pasport dan lesen di studio.

"Tetapi, selepas 1995, gambar kad pengenalan pun dah tak perlu buat di studio sebab agensi kerajaan berkaitan pun ada sediakan khidmat sama.

"Itulah permulaan semua operasi studio mula perlahan," luahnya.

Baginya, bisnes studio tersebut hanyalah sekadar sebagai sumber pendapatan untuk menampung kos sara hidup.

"Cukup untuk bayar sewa kedai dan makan harian, itu sudah memadai," katanya.

Walaupun tidak lagi mendapat permintaan tinggi, namun ada juga sesetengah pelanggan masih setia untuk menggunakan khidmatnya.

Kok Kee mengambil alih perniagaan kedai gambar Foto Pak Tai daripada pemiliknya yang sudah meninggal dunia. — Agensi/ CNA

Antaranya terdiri daripada penjawat awam dan pegawai polis yang masih datang untuk mengambil gambar.

"Biasanya pegawai polis datang untuk ambil gambar kad pengenalan mereka dan saya sudah biasa dengan saiz foto yang mereka perlukan.

"Mereka suka datang ke sini sebab saya akan sunting (edit) dan pastikan hasil gambar nampak cantik.

"Jika tiada mereka, saya tidak rasa (bisnes ini) boleh bertahan. Perniagaan sekarang semakin sukar untuk bersaing.

"Saya pula semakin tua dan tidak tahu berapa lama lagi boleh buka kedai ini," ujarnya sambil menambah bahawa legasi perniagaan itu juga tidak akan diteruskan oleh anak-anaknya.

Beliau, mendedahkan bahawa kesemua anaknya tidak menunjukkan minat untuk menyambung perniagaan tersebut.

Dengan cabaran ekonomi zaman kini, beliau juga tidak terlalu berkira untuk memanjangkan tempoh operasi kedai.

Selalunya studio tersebut akan dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam atau lebih bergantung kepada permintaan pelanggan.

Namun, demi menjaga kesihatan dirinya yang semakin uzur, Kok Kee memutuskan untuk tidak terlalu memberi tekanan kepada tubuhnya.

"Kos sewa kedai sekitar RM200 hingga RM300. Tetapi sekarang saya dah tua dan buka pukul 10.15 pagi hingga 5 petang sahaja.

"Sekarang saya hanya ambil gambar menggunakan kamera digital jenama Nikon kerana tak perlu beli gulungan filem.

"Bila duduk di rumah sahaja dan tidak gunakan otak, saya rasa sangat tidak berguna," jelasnya.

Bisnes kecil itu sekali gus membantu mengisi ruang kosong dan waktu lapangnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram