Bisnes bebas hutang, Black Hanifah keluar modal lebih RM3 juta bangunkan vila di Langkawi


  • Bisnes
  • Rabu, 19 Nov 2025

Antara vila yang diusahakan oleh Black sekeluarga di Langkawi, Kedah. — Instagram/Black

SEBUT sahaja Langkawi, pasti terlintas keindahan alam semula jadi yang menjadi tumpuan pengunjung serata dunia.

Merupakan antara nadi dalam industri pelancongan, lokasi terletak di Negeri Jelapang Padi, Kedah itu sekali gus membuka peluang ekonomi terutama kepada penduduk setempat.

Justeru, ramai tidak melepaskan peluang untuk membangunkan pelbagai bentuk perniagaan bagi memenuhi permintaan yang sentiasa meningkat.

BACA LAGI: 'Borak dulu, jangan terus judge', Nana akui bukan mudah bina hubungan macam 'kawan' dengan anak remaja

BACA LAGI: Hampir banyak persamaan, ketahui simbolik di sebalik hidangan berpantang 3 budaya masyarakat Asia

Black mengambil peluang membuka perniagaan di Langkawi. — Instagram/Black

Tidak terkecuali merebut peluang sama, penyanyi terkemuka, Black Hanifah turut mengambil langkah membuka empayarnya di Langkawi.

Dalam pada sibuk menyiapkan single terbaharu dan album ketiganya, Black kini ligat menguruskan bisnes inap desanya iaitu Dayyan D'Villa dan Rindu D'Villa di Cow Hill, Kedawang, Langkawi.

Menariknya, kedua-dua vila tersebut juga dinamakan sempena nama dua cahaya mata kesayangannya iaitu Khaleef Dayyan dan Rindu Dayyana.

Vila berkonsepkan ala suasana di Bali, Indonesia yang dibina daripada hasil titik peluh Black tanpa sebarang pinjaman atau hutang daripada bank itu mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disempurnakan.

Berkongsi lanjut tentang perkembangan bisnesnya, pemilik nama sebenar, Hanifah Muhammad Hanafiah, 38, mendedahkan bahawa sebanyak enam buah vila secara keseluruhan sudah dibangunkan di kawasan berhampiran.

"Kami juga baru sahaja beli sebuah kapal layar (yacht) mini untuk buat pakej memancing secara santai bersama keluarga.

"Selain vila, saya juga ada bisnes sampingan seperti kedai cat kereta di Shah Alam, Selangor dan kafe Buloh Perindu di Langkawi," katanya kepada Majoriti.

Beliau ditemui selepas menghiburkan para pengunjung yang hadir memeriahkan acara Jelajah Sawit Hijau Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) Siri 3 di Paradigm Mall, Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Black juga aktif menjalankan kerjayanya sebagai penyanyi. — Instagram/Black

Langkawi lokasi strategik

Pelantun lagu Hijab Rindu itu juga berkata, Langkawi dipilih menjadi lokasi operasi perniagaan disebabkan peluang pekerjaannya yang luas.

Menurutnya, langkahnya dalam dunia perniagaan mula diatur selepas mendirikan rumah tangga dengan cinta hatinya, Naquia Yasirah Mohd Khairi ,13 tahun lalu.

"Isteri memang asal orang Utara dan kami kerap pergi ke Langkawi. Sejak itu saya lihat banyak peluang yang mungkin orang lain tak sedar.

"Selain Melaka, Langkawi juga antara tempat yang selalu jadi sebutan termasuk pelancong yang mencari pulau-pulau cantik.

"Satu lagi, orang Utara ini juga mudah ramah dan saya belum ada nampak mana-mana selebriti lain yang bangunkan bisnes seperti ini di di sini," jelasnya.

Mengulas pula tentang reka bentuk setiap vila yang dibina, Black mengambil pendekatan untuk mengetengahkan lagi konsep dengan suasana desa dan privasi demi keselesaan pengunjung.

Naquia (kanan) atau dikenali sebagai Cira antara individu yang banyak memberi sokongan kepada Black. — Instagram/Black

Menurutnya, setiap pelanggan sama ada bersama keluarga atau rakan yang menginap di vila itu turut dapat melakukan aktiviti selain duduk di tepi pantai.

Daripada lukisan tangan, idea reka bentuk bangunan, hiasan dalaman sehingga proses bertukang, semuanya dilakukan oleh Black.

"Saya memang suka bidang seni bina, melukis dan membina sesuatu bangunan.

"Jadi, saya gunakan kepakaran ini untuk pelaburan masa hadapan kami sekeluarga," ujarnya.

Bisnes tanpa hutang

Mengeluarkan modal untuk memulakan sesebuah perniagaan tidak dinafikan menjadi antara dilema kepada sesetengah pengusaha.

Namun, bagi Black ia boleh diatasi dengan pengurusan kewangan yang bijak dan selamat.

Kata Black, bisnesnya kini tidak menggunakan modal hasil sebarang pinjaman atau hutang daripada mana-mana pihak bank.

Black mempelajari strategi perniagaan daripada usahawan yang ada bisnes hotel di Langkawi.— Instagram/Black

"Saya gunakan semua modal daripada wang simpanan sedikit demi sedikit untuk bangunkan kesemua vila.

"Jumlah keseluruhan yang saya dah keluarkan setakat ini adalah lebih RM3 juta termasuk bina kolam dan naik taraf struktur yang perlu.

"Strategi ini pun saya belajar daripada usahawan yang ada bisnes hotel di Langkawi.

"Jadi, saya boleh jalankan bisnes tanpa terlalu mengejar sasaran, keuntungan atau tekanan nak bayar komitmen," katanya.

Dengan kelebihan membina vila di tanah miliknya, Black percaya bahawa perniagaannya boleh bertahan lebih lama.

Meskipun perlu berdepan dengan pesaing-pesain ternama lain, Black mendedahkan bahawa permintaan tempat menginap seperti hotel dan inap desa masih tinggi.

"Kalau orang luar nampak dah terlalu banyak hotel atau homestay di Langkawi, tetapi hakikatnya selalu penuh.

"Ramai pemilik inap desa dan vila tak cukup tempat untuk ditawarkan kepada pengunjung terutama pelancong luar negara.

"Sebab itu, saya ambil peluang ini untuk sama-sama membantu memajukan ekonomi di sini," ucapnya.

Bagi Black, perniagaan menjadi aset berharga buat masa depan keluarga. — Instagram/Black

Aset masa depan keluarga

Bercerita lanjut, perniagaannya kini bukanlah hanya untuk kesenangan hidup semata-mata

Malah, ia juga demi kelangsungan dan masa depan keluarga terutama isteri dan anak-anaknya.

"Walaupun nama vila ini diambil sempena nama anak-anak, tetapi saya terangkan bahawa ia bukanlah sepenuhnya milik mereka.

"Saya jadikan bisnes ini untuk peluang pekerjaan juga sekiranya suatu hari nanti mereka perlukan kerja di sini.

"Saya juga ada perancangan untuk bangunkan sebuah hotel sekitar Langkawi selepas urusan vila selesai," tambahnya.

Walaupun terpaksa mengurus perniagaan yang terletak jauh dari Kuala Lumpur, Black tetap bersyukur kerana mempunyai pekerja yang dipercayai untuk menguruskan vilanya.

Baginya, mengimbangi kerjaya seni dan dunia perniagaan dalam satu masa juga bukanlah satu beban untuk dipikul.

"Saya suka menyanyi dan bisnes. Apabila dua-dua perkara kita suka, tidak susah pun nak laksanakan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram