[VIDEO] Angkara hutang tatu RM120, 4 lelaki bergaduh sampai pecahkan kereta jiran di Setia Alam ditahan polis


  • Tular
  • Selasa, 11 Nov 2025

Tangkap layar memaparkan kerosakan pada kereta susulan kejadian hutang tidak dibayar.

TULAR di media sosial satu insiden mencemaskan di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Setia Alam, Selangor apabila salah seorang penduduk mendakwa mendengar bunyi siren kereta polis serta dentuman kuat yang dikaitkan dengan satu pergaduhan di kawasan perumahan itu.

Kejadian tersebut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai selepas pengguna media sosial, @syazaar berkongsi pengalaman mendebarkan itu di laman Threads.

“Saya dengar bunyi kereta polis, orang gaduh, lepas itu ada macam bunyi dentum yang kuat. Apa kes ni, takutnya. Sudahlah saya baru saja 10 minit sampai rumah,” katanya.

BACA LAGI: Suami sewa rumah ‘berhantu’ selama 26 tahun demi mencari pembunuh isteri, suspek akhirnya serah diri

BACA LAGI: [VIDEO] 'Macam ini baru profesional,' aksi adik Jojo ramah mesra dengan lawan curi tumpuan lepas bergelar juara Warrior’s Arena

Menurutnya lagi, pergaduhan tersebut dipercayai berpunca daripada hutang yang tidak dibayar menyebabkan keadaan menjadi tegang dan tidak dapat dikawal.

"Saya dengar hutang dia RM120 saja tapi habis pecah kereta motosikal semua," dakwanya.

Dalam perkembangan sama, seorang wanita yang mendakwa jiran kepada mangsa, @safaryani_chau turut tampil memberi penjelasan mengenai kejadian berkenaan.

“Satu tingkat dengan saya, sebab hutang, pelik-pelik. Tak pasal-pasal semua kena angkut, isteri dia saja tak kena.

“Ingat tadi sudah elok lepas kawan-kawan dia turun, sekali dua kereta terus dia pecahkan, sekali dengan motosikal. Kawan-kawan dia saja tu, memang selalu datang rumah dia,” dakwanya.

Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam insiden berkenaan sehingga menyebabkan kerosakan pada beberapa kenderaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Pemangku Senior Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 9 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 9.15 malam, polis menahan empat lelaki yang sedang bergaduh di kawasan parkir kereta pangsapuri berkenaan.

“Beberapa senjata dan kenderaan yang digunakan dalam pergaduhan turut dirampas, antaranya satu laras senapang ikan, busur, sebatang besi kuku kambing, ekzos motosikal serta sebuah kereta Perodua Axia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada hutang tatu berjumlah RM120 yang tidak dibayar oleh salah seorang suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan menggunakan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerosakan harta benda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram