Suami sewa rumah ‘berhantu’ selama 26 tahun demi mencari pembunuh isteri , suspek akhirnya serah diri


  • Benua
  • Ahad, 09 Nov 2025

Seorang suami di Jepun yang terus menyewa rumah tempat isterinya dibunuh 26 tahun lalu akhirnya mendapat jawapan apabila pembunuh sebenar.

SEORANG suami di Jepun yang kehilangan isterinya dalam satu pembunuhan tragis 26 tahun lalu sanggup terus membayar sewa rumah kosong tempat kejadian itu berlaku yang kini digelar sebagai 'rumah berhantu' dengan harapan dapat menemukan petunjuk mengenai siapa pembunuh sebenar.

Harapan itu akhirnya tercapai apabila suspek tampil menyerah diri kepada polis di Nagoya, wilayah tengah Jepun.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan merupakan bekas rakan sekelas suaminya ketika di sekolah menengah dan pernah menyimpan perasaan terhadapnya.

BACA LAGI: Remaja bawah 15 tahun dilarang sertai sukan tinju, muay thai dan MMA — KBS

BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 50 parah letupan masjid di Jakarta Utara, pelajar kerap jadi mangsa buli antara suspek

Seorang suami di Jepun sanggup membayar sewa rumah tempat isterinya dibunuh.

Kes tersebut kembali menarik perhatian umum selepas dilaporkan oleh stesen penyiaran NHK pada awal November.

Pembunuhan tersebut dilaporkan berlaku pada 13 November 1999 apabila seorang suri rumah, Namiko Takaba ditemui meninggal dunia di kediamannya. 

Mangsa dilaporkan ditikam berkali-kali di bahagian leher menggunakan objek tajam, manakala anak lelakinya yang berusia dua tahun ketika itu ditemui tidak cedera di sisi ibunya.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa menggerakkan 100,000 anggota polis dan menemu bual lebih 5,000 individu, namun gagal mengesan pelaku.

Satu-satunya petunjuk yang diperoleh ialah suspek dipercayai seorang wanita berdarah jenis B, berketinggian kira-kira 1.6 meter dan memakai kasut bersaiz 24 sentimeter.

Tahun lalu, polis membuka semula siasatan dan menumpukan semula kepada individu yang mempunyai kaitan dengan keluarga mangsa.

Pada 30 Oktober lalu, seorang wanita berusia 69 tahun, Kumiko Yasufuku menyerah diri kepada pihak polis.

Difahamkan, Yasufuku pernah disoal siasat sebelum ini namun enggan memberikan sampel darah untuk ujian DNA.

Hasil siasatan terbaru mendapati DNA darah yang ditemui di lokasi pembunuhan sepadan dengan miliknya dan dia ditahan atas tuduhan membunuh.

Mangsa (kiri) dilaporkan ditikam berkali-kali di bahagian leher menggunakan objek tajam. 

Yasufuku mengaku kepada polis bahawa dia hidup dalam ketakutan selama lebih dua dekad.

"Selama 20 tahun ini, saya hidup dalam kebimbangan setiap hari. Saya tidak sanggup menonton laporan berita mengenai kes ini. Setiap 13 November, saya berasa cemas dan murung.

"Saya tidak mahu ditangkap kerana tidak mahu menyusahkan keluarga. Namun apabila polis menghubungi saya Ogos lalu, saya sudah bersedia. Saya ingin memohon maaf kepada Namiko," katanya.

Suami mangsa, Takaba berkata, dia terkejut apabila mengetahui identiti suspek.

“Saya tidak menyangka langsung ia adalah dia. Saya fikir pembunuh itu telah meninggalkan Nagoya, tetapi rupa-rupanya dia tinggal berhampiran rumah yang saya sewa,” ujarnya.

Menurut Takaba, Yasufuku, bekas rakan sekelasnya, pernah menghantar coklat dan surat cinta sempena Hari Valentine semasa di sekolah, namun perasaannya tidak berbalas.

Mereka tidak lagi berhubung selepas tamat pengajian kecuali sekali bertemu setahun sebelum tragedi itu.

“Dia beritahu saya bahawa dia sudah berkahwin tetapi masih perlu bekerja, dan dia sangat penat.

"Dia tidak pernah mengganggu kami sebelum kejadian, jadi saya tidak pernah terfikir dia pelakunya," kata Takaba.

Beberapa jiran turut memaklumkan kepada polis bahawa mereka mendengar pertengkaran dari rumah mangsa sebelum pembunuhan berlaku.

Selepas penangkapan suspek, rakan-rakan Takaba mengucapkan tahniah atas ketabahannya.

"Bayaran sewa rumah selama bertahun-tahun akhirnya berbaloi. Saya terkejut pembunuhnya orang yang saya kenal. Saya amat bersalah kepada Namiko,” katanya dalam nada sebak. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram