Remaja bawa tujuh bahan letupan ke sekolah di Jakarta, 4 meletup


  • Benua
  • Isnin, 10 Nov 2025

Unit khas antikeganasan Indonesia mendedahkan suspek dalam insiden letupan di SMAN 72 Jakarta Utara didapati membawa tujuh bahan letupan.

UNIT khas antikeganasan Indonesia, Densus 88 mendedahkan bahawa suspek dalam insiden letupan di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 Jakarta Utara pada Jumaat lalu didapati membawa tujuh bahan letupan.

Jurucakap Densus 88, Pesuruhjaya Kanan Adjung, Mayndra Eka Wardhana memberitahu portal berita tempatan Kompas bahawa dua bom meletup di lokasi pertama iaitu di surau sekolah berkenaan.

"Dua lagi meletup di taman bacaan dan pusat kitar semula sekolah, manakala tiga tidak meletup,” katanya.

BACA LAGI: Suami sewa rumah ‘berhantu’ selama 26 tahun demi mencari pembunuh isteri, suspek akhirnya serah diri

BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 50 parah letupan masjid di Jakarta Utara, pelajar kerap jadi mangsa buli antara suspek

Pegawai polis forensik mengutip bukti selepas letupan berlaku di sebuah masjid dalam kompleks sekolah di Jakarta.

Unit itu juga telah mengenal pasti jenis bahan letupan yang digunakan, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan berada di bawah bidang kuasa Polis Jakarta atau unit pemusnah bom.

Insiden berlaku sekitar pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan ketika solat Jumaat di sekolah yang terletak di kawasan Kelapa Gading.

Saksi berkata, letupan pertama kedengaran ketika khutbah sedang berlangsung, disusuli satu lagi letupan dari arah berbeza.

Kejadian itu menyebabkan hampir 100 orang cedera termasuk mangsa yang mengalami lecur dan kecederaan akibat serpihan, serta menimbulkan panik dalam kalangan pelajar dan penduduk berhampiran.

Menurut Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, suspek berusia 17 tahun yang juga pelajar sekolah berkenaan telah menjalani pembedahan di kepala dan kini berada di unit rawatan rapi di bawah pengawasan polis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram