Sekali lagi diuji masalah kecederaan, Zii Jia terpaksa lupakan hasrat pertahan kejuaraan Terbuka Australia


  • Podium
  • Selasa, 11 Nov 2025

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia.

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia yang dimenanginya tahun lalu.

Zii Jia sah menarik diri daripada kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 itu yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 23 November ini.

Tahun lalu, Zii Jia muncul juara selepas menewaskan pemain Jepun, Kodai Naraoka di pentas final.

BACA LAGI: Status naturalisasi masih undang tanda tanya, 3 bintang 'bersedia' ganti Jordan Mintah

BACA LAGI: Gabriel Peres-Sabah FC berpisah, Sang Badak intai pengganti di benteng pertahanan

Zii Jia muncul juara Terbuka Australia edisi musim lalu selepas menewaskan pemain Jepun di pentas final.

Pemain ranking ke-63 dunia itu sebelum ini turut menarik diri daripada Masters Kumamoto di Jepun yang membuka tirai hari ini.

Penarikan diri terbaru itu menguatkan lagi tanda tanya tentang tahap kecederaan belakang dialami pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu, yang sebelum ini memaksanya mengetepikan tiga siri kejohanan Eropah iaitu Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Artik di Finland.

Masalah kecederaan Zii Jia bermula sejak Jelajah Dunia Akhir, Disember tahun lalu, apabila mengalami kecederaan buku lali.

Dia sempat kembali beraksi pada Mac lalu di Masters Orleans dan Seluruh England, namun kemudian memilih berehat panjang bagi memulihkan kecederaan sepenuhnya.

Zii Jia membuat kemunculan semula pada Kejohanan Dunia di Paris Ogos lalu tetapi tersingkir seawal pusingan pertama.

Situasi sama berulang di Masters Hong Kong, sebelum dia menarik diri ketika berdepan pemain Taiwan, Lin Chun Yi dalam aksi pembukaan Masters China.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak pengurusan Zii Jia mengenai tahap kecederaan yang membelenggunya. — The Star/R.KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram