BEK kental Sabah FC, Gabriel Peres dilaporkan bakal meninggalkan pasukan Sang Badak selepas khidmatnya dikatakan sudah tidak diperlukan sejak September lalu.
Spekulasi tersebut tercetus selepas satu hantaran di laman Instagram @palatao_bola mendedahkan bahawa pemain yang lebih mesra disapa Gabi itu telah dilepaskan oleh kelab berpangkalan di Borneo itu.
“Sabah dan Gabriel Peres berpisah. Menurut sumber, Gabriel Peres sudah dilepaskan oleh Sabah sejak September lalu.
BACA LAGI: Xisco Munoz akui pemain JDT keletihan, lega bawa bekalan satu gol ke SSI
“Dominic Tan dan Rawilson Batuil kekal menjadi gandingan baik tetapi akan mencari pertahanan import atau tempatan di posisi tengah dan kanan menjelang jendela perpindahan Januari,” tulis hantaran berkenaan.
Gosip mengenai pemergian pertahanan tinggi lampai berusia 1.97 meter itu semakin kuat apabila kali terakhir dia beraksi adalah ketika kemenangan besar 6-0 ke atas Bunga Raya dalam saingan pusingan 16 Piala FA pada 17 Ogos 2025.
Sejak perlawanan itu, Gabi langsung tidak lagi disenaraikan dalam skuad kendalian Jean-Paul de Marigny.
Sebelum menghilang daripada radar pasukan, Gabi sempat meninggalkan impak besar apabila menjaringkan gol penyamaan penting ketika Sabah mengikat Kuala Lumpur City FC 1-1 pada aksi pembukaan Liga Super musim ini di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 13 Ogos lalu.
Setakat ini, pihak pengurusan Sabah FC belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai status sebenar pemain dari Brazil itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
