Rayuan FAM ditolak FIFA tak lunturkan semangat Harimau Malaya


  • Podium
  • Isnin, 10 Nov 2025

Peter Cklamovski menegaskan semangat juang skuad kebangsaan kekal utuh meskipun rayuan FAM terhadap keputusan FIFA ditolak.

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan semangat juang skuad kebangsaan kekal utuh meskipun rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ditolak.

Perkara itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam menerusi ciapan di platform X pada Isnin.

Menurutnya, Cklamovski menegaskan bahawa keputusan FIFA itu sama sekali tidak menjejaskan fokus dan motivasi barisan pemain Harimau Malaya dalam meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

BACA LAGI: Faktor senioriti, beraksi luar negara belum tentu jamin spot Endrick Santos-Junior Eldstal

BACA LAGI: [VIDEO] Cantik bukan sekadar penyeri, tekong Thailand serlah bakat bantu Sabah naib juara Piala Tun Ali 2025

"Tindakan FIFA tolak rayuan FAM dan kekal hukuman terhadap tujuh pemain, Peter Cklamovski menegaskan barisan pemain skuad kebangsaan kekal semangat untuk melengkapkan aksi dalam kempen kelayakan Piala Asia," katanya.

Sebelum ini, rayuan FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang terlibat berhubung kes pemalsuan dokumen telah ditolak oleh FIFA.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini, FIFA mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain terbabit melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Tujuh pemain tersebut ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

Meskipun berdepan cabaran besar susulan keputusan itu, Cklamovski tetap optimis Harimau Malaya mampu menampilkan aksi terbaik bagi memastikan kemaraan dalam saingan Kelayakan Piala Asia terus berada di landasan tepat.

Skuad kebangsaan bakal meneruskan cabaran dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan aksi menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada 18 November nanti.

Pertemuan itu dijangka menjadi perlawanan penting dalam usaha Malaysia untuk memperkukuhkan kedudukan di Kumpulan F dan terus memburu tiga mata penuh selepas kejayaan-kejayaan awal dalam saingan kelayakan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram