TRW bakal dimiliki hartawan negara, 3 kelab dibeli Vincent Tan pernah terpalit kontroversi hangat


  • Podium
  • Rabu, 05 Jul 2023

Vincent Tan mempunyai pengalaman luas sebagai pemilik kelab bola sepak Eropah.

PENGASAS Berjaya Corp Berhad (BCorp), Tan Sri Vincent Tan dikatakan akan memiliki sebuah kelab bola sepak di Pantai Timur susulan khabar angin beberapa pasukan dijangka bakal menerima dana dan bantuan daripada hartawan tersebut pada musim ini.

Kelantan FC merupakan antara pasukan yang hangat diperkatakan dengan persembahan kelab itu kian merudum pada tahun ini, yang menyaksikan kemelut kewangan dan isu jurulatih tiada berkesudahan hingga ke hari ini.

Pengalaman luas Vincent dalam bola sepak sebagai pemilik beberapa kelab di Eropah dikatakan mampu mengembalikan zaman kegemilangan The Red Warrior (TRW) sekali gus membebaskan pasukan itu daripada segala masalah dihadapi.

Namun, di sebalik khabar gembira itu yang kian mendapat tempat di hati peminat, penyokong Kelantan juga perlu mengetahui bahawa terdapat beberapa pasukan yang dikatakan kurang menyerlah dan pernah terpalit kemelut dalaman sejak dimiliki individu ke-28 terkaya di Malaysia tersebut.

kellaa

Kelantan FC kini kekal di tangga tercorot Liga Super dengan hanya empat mata diperoleh setakat ini. — Facebook/Kelantan FC

Cardiff City FC

Vincent Tan menerima kecaman hebat daripada penyokong Cardiff yang mendesak untuk beliau melepaskan pasukan itu kepada individu lain yang lebih layak.

Ia susulan prestasi buruk dipamerkan kelab tersebut pada musim lalu yang menyaksikan Cardiff berada di kedudukan keempat tercorot liga 2 Wales dengan hanya 13 kemenangan diperoleh daripada 46 perlawanan.

Laungan ‘Tan Out’ antara yang sering didengari di stadium yang sekali gus menyaksikan betapa penyokong Cardiff sudah hilang kepercayaan terhadapnya.

FK Sarajevo FC

Kelab yang bermain di liga utama Bosnia itu pernah melalui detik hitam apabila pergaduhan besar tercetus dalam kalangan peminat di stadium yang menyaksikan beberapa penyokong tercedera dalam insiden tersebut.

Seramai 27 orang, termasuk sembilan pegawai polis dilaporkan cedera dalam perlawanan antara pasukan itu dan kelab bola sepak Poland, Lech Poznan Sarajevo di kelayakan Liga Juara-Juara pada 2015.

Keganasan tercetus selepas hampir puluhan penyokong lawan bertempur antara satu sama lain yang kemudiannya dihentikan oleh polis bertugas.

Tiga warga Bosnia mengalami kecederaan serius di kepala dan mengakibatkan lima buah kenderaan polis dan lapan kereta awam mengalami kerosakan teruk akibat keganasan penonton.

LA Galaxy FC

Pasukan yang berkelana di Major League Soccer, Amerika Syarikat itu merupakan salah satu kelab bola sepak dimiliki oleh Vincent Tan.

Namun, prestasi kelab itu boleh diibaratkan seperti 'suam-suam suku' oleh sesetengah pemerhati bola sepak dengan pasukan tersebut hanya memperoleh satu kejuaraan pada 2019 dalam tempoh tiga musim dalam saingan liga tersebut.

Di samping itu, kelab berkenaan juga menerima tamparan hebat apabila dikenakan denda sebanyak RM9.3 juta kerana gagal mematuhi syarat ketika menandatangani pemain baharu, Cristian Pavon pada musim 2022.

Justeru, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman ataupun Zamsahan perlu meneliti segala kelebihan dan kekurangan yang ada sebelum melepaskan pasukannya.

Namun, apa jua keputusan dibuat, diharapkan ia mampu membawa kebaikan buat TRW sekali gus menaikkan semula era kegemilangan pasukan tersebut pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram