Ruginya Selangor, Orozco kini cemerlang di negara sendiri sementara Gergasi Merah makin hilang kreativiti


  • Podium
  • Selasa, 28 Okt 2025

Orozco membantu skuad Gergasi Merah menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua buat dua kali berturut-turut. — Selangor FC

JENTERA serangan Selangor FC musim ini boleh dikatakan agak tumpul kerana selepas tujuh perlawanan Liga Super, skuad Gergasi Merah baru sahaja meledak 12 gol.

Meskipun tampil bergaya dalam Piala FA ketika berdepan Negeri Sembilan FC dan Malaysian University FT, prestasi sebenar hanya boleh diukur dalam saingan divisyen teratas itu.

Ini kerana angka 12 yang dicatatkan setakat ini menceritakan kesukaran skuad kendalian Cristophe Gamel itu untuk berada di kedudukan lebih baik.

BACA LAGI: Rebah 2 kali di bumi Thailand, Katsuhito Kinoshi perlu segera cari pengganti Orozco, Safuwan

BACA LAGI: Pernah cetak gol lawan Barcelona, Selangor sudah jumpa pengganti Orozco

Orozco memilih untuk pulang ke Venezuela selepas kontraknya tidak disambung Selangor FC. Agensi

Kemelut untuk mencetak lebih banyak gol itu boleh dikatakan berpunca dari kualiti kreativiti pasukan di posisi tengah yang disebabkan pemergian penggerak utama, Yohandry Orozco.

Dia yang menyertai Selangor FC pada 2023 memainkan peranan penting sepanjang dua musim bersama kelab terbabit menggunakan kemahiran mencari rakan sepasukan.

Tetapi, atas faktor tertentu, skuad Gergasi Merah memilih untuk tidak menyambung kontraknya bagi kempen 2025/26 dengan keputusan itu sukar diterima penyokong.

Lebih mengecewakan lagi, Orozco kini masih membuktikan dirinya bernilai dalam pasukan selepas menjadi watak utama buat FC Carabobo yang beraksi dalam divisyen teratas Venezuela.

Prestasi memberangsangkan itu mencuri tumpuan peminat bola sepak di Facebook. BiKem Studio yang mempersoalkan sama ada kehilangan pemain terbabit dikesali skuad Gergasi Merah.

"Selepas meninggalkan Selangor, Orozco kini tampil dengan prestasi terbaik bersama Carabobo FC. Setakat ni, dia sudah membuat 17 penampilan, menjaringkan tujuh goal dan menyumbang lima bantuan jaringan, 12 sumbangan goal berjaya dicatatkan Orozco.

"Malah, dia beraksi cemerlang setiap kali diturunkan. Di sini, kita boleh nampak 'rating' dia cukup tinggi untuk setiap perlawanan. Memang setiap perlawanan dia cemerlang. Adakah Selangor melakukan satu kesilapan besar apabila melepaskan Orozco pergi?" katanya.

Sepanjang dua musim bersama kelab Lembah Klang itu, pemain berusia 34 tahun terbabit merekodkan 20 jaringan dan 22 bantuan gol dalam 64 penampilan secara keseluruhan.

Impak dibawanya juga adalah begitu besar kerana dia dapat membantu skuad Gergasi Merah muncul naib juara Liga Super untuk dua kali berturut-turut.

Pemergiannya dari pasukan menyaksikan pihak pengurusan dan kejurulatihan cuba menggantikannya dengan menandatangani Zach Clough yang kini belum berada dalam prestasi terbaik.

Peningkatan segera diharapkan penyokong Merah Kuning dalam usaha Selangor FC kembali ke tahap terbaik setelah memulakan kempen 2025/26 dengan agak perlahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram