
PADA Mei lepas, perancang tengah Selangor FC iaitu Yohandry Orozco sudah memberi petunjuk bahawa pemain kelahiran Venezuela itu mungkin akan meninggalkan pasukan Gergasi Merah pada musim depan.
Dalam hantaran yang dikongsikan di media sosialnya, pemain berusia 34 tahun mengucapkan terima kasih kepada skuad Gergasi Merah sekaligus menimbulkan persoalan mengenai masa depannya bersama Selangor.
Selangor FC menamatkan saingan Liga Super musim 2024/25 dengan prestasi cemerlang, meraih tempat naib juara untuk kali kedua berturut-turut dengan mengumpul 52 mata selepas 24 perlawanan.
BACA LAGI: Orozco ucap selamat tinggal, beri ‘hint’ takkan bersama The Red Giants musim depan
BACA LAGI: [VIDEO] Dari Colombia ke Selangor, Neyder Moreno calon sesuai ganti Yohandry Orozco
Berita mengenai potensi perpisahan Orozco sudah pasti mengejutkan penyokong kerana kehilangan pemain tengah berkelas sepertinya pasti akan memberi kesan besar kepada kekuatan pasukan, lebih-lebih lagi dengan peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) musim depan.
Meskipun tiada pengumuman rasmi dari pihak Selangor berkenaan masa depan Orozco, penyokong Gergasi Merah tidak perlu terlalu bimbang susulan khabar angin mengenai penggantinya sudah ditemui.
Pemain yang dimaksudkan adalah Juan Pablo Anor, atau lebih dikenali sebagai Juanpi apabila pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi melaporkan bahawa Selangor semakin hampir untuk menyelesaikan perpindahan pemain tengah antarabangsa Venezuela itu.
Tonggak tengah antarabangsa Venezuela, Juan Pablo Anor @ Juanpi dikhabarkan hampir pasti untuk sertai Selangor FC bagi saingan Liga M musim 2025/26.
Pemain berusia 31 tahun itu memiliki 27 penampilan bersama skuad utama Venezuela. @ASTROARENA
— Fadhirul Shuhaimi (@FadhirulS) May 16, 2025
"Tonggak tengah antarabangsa Venezuela, Juan Pablo Anor @ Juanpi dikhabarkan hampir pasti untuk sertai Selangor FC bagi saingan Liga M musim 2025/26. Pemain berusia 31 tahun itu memiliki 27 penampilan bersama skuad utama Venezuela," katanya.
Juanpi memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa, termasuk beraksi di La Liga bersama Malaga dari 2014 hingga 2018 dengan dia berpeluang bertemu dengan dua legenda besar, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Kenangan paling manis ketika di La Liga bersama Malaga, Juanpi pernah mencetak gol menentang Barcelona ketika kekalahan pasukannya 1-2 kepada kuasa besar bola sepak Sepanyol tersebut.
Selain Malaga, pemain yang selesa dengan kaki kirinya itu juga pernah bermain untuk kelab-kelab seperti SD Huesca (Sepanyol), Caracas FC (Venezuela), Panetolikos (Greece), dan kini menyarung Volos NPS di Greece.
Lebih menarik lagi, Juanpi juga mempunyai pengalaman beraksi di Asia selepas dua musim bersama kelab Arab Saudi, Al-Ain. Ia pasti sedikit sebanyak membantu dia menyesuaikan diri dengan suasana Liga Malaysia jika benar ke Lembah Klang.
Jika perpindahan itu menjadi kenyataan, kehadiran Juanpi di Selangor FC pastinya akan memberikan impak besar dalam memperkukuhkan barisan tengah pasukan Gergasi Merah untuk musim yang akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram