[VIDEO] Macam deja vu, JDT sekali lagi ulangi sejarah 'perfect 10' lepas benam DPMM


  • Podium
  • Isnin, 27 Okt 2025

Skuad Harimau Selatan membuktikan mereka masih pasukan paling digeruni di tanah air apabila membelasah DPMM FC 10-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. — Facebook/JST

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) terus memperkukuh reputasi sebagai gergasi bola sepak tempatan apabila membelasah DPMM FC 10-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.

Kemenangan besar itu bukan sahaja menegaskan dominasi skuad Harimau Selatan, malah menjadi isyarat jelas bahawa standard permainan mereka kekal tinggi biarpun hanya empat hari selepas menewaskan Chengdu Rongcheng 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE).

JDT hanya memerlukan sembilan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang berbisa, Bergson da Silva yang menyambar hantaran lintang Arif Aiman Hanapi bagi menewaskan penjaga gol DPMM, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.

BACA LAGI: DPMM belum setahap JDT, tiba masanya Munoz berikan 3 bintang tersisih minit permainan

BACA LAGI: Saya yang syor 7 pemain warisan ke FAM — Tengku Muda Pahang

JDT membelasah DPMM FC 10-0 dalam aksi penuh dominasi tanpa belas kasihan.Facebook/JST

DPMM cuba bangkit seketika apabila Ramadhan Sananta hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-11, namun rembatan derasnya sekadar melambung tinggi.

Keadaan bertambah sukar buat pelawat apabila mereka beraksi dengan 10 pemain selepas Syafiq Safiuddin Abd Sharif dilayangkan kad merah pada minit ke-32 kerana menjatuhkan Oscar Arribas dalam kotak penalti.

Bergson tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut sebelum melengkapkan hatrik empat minit kemudian hasil umpanan Afiq Fazail menjadikan kedudukan 3-0.

Menjelang rehat, Arribas turut mencetak nama sebagai penjaring apabila melakukan larian solo menewaskan dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Haimie untuk meletakkan JDT selesa 4-0 di babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, skuad kendalian Xisco Munoz terus garang apabila pemain gantian Manuel Hidalgo menambah jaringan kelima pada minit ke-50 hasil umpanan Romel Morales.

Bergson (kanan) mencipta sejarah peribadi apabila meledak empat gol untuk membantu JDT membelasah DPMM FC. — Facebook/JST

Nasib malang DPMM FC berterusan apabila Tommy Mawat Bada tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-63, sebelum Arif Aiman (m-68) dan Bergson (m-73) menambah dua lagi gol untuk menjadikan kedudukan 8-0.

Ketika permainan berbaki kurang 10 minit, Jairo da Silva (m-81) dan Romel Morales (m-88) melengkapkan pesta gol dengan dua jaringan cantik bagi memastikan kemenangan bergaya 10-0 buat JDT.

Menariknya, keputusan tersebut mengulangi rekod kemenangan terbesar di SSI, selepas JDT pernah menewaskan Kelantan FC 10-0 dalam saingan Piala Malaysia pada 19 Ogos 2023.

Dalam perlawanan bersejarah itu, Harimau Selatan mara ke pusingan suku akhir dengan agregat 15-1, hasil ledakan besar termasuk hatrik Bergson dan dua jaringan bekas import JDT dari Jepun, Takahiro Kunimoto.

Skuad yang dikendalikan oleh Esteban Solari ketika itu bermula garang apabila Bergson membuka jaringan pada minit ke-20 sebelum Takahiro Kunimoto menambah dua gol pantas untuk meletakkan JDT selesa di depan.

Bergson kemudian menjaringkan gol keduanya pada minit ke-43 bagi menutup babak pertama dengan kedudukan 4-0.

Bersambung separuh masa kedua, bekas pemain tengah JDT Juan Muniz, Daryl Sham, Heberty Fernandes dan Arif Aiman masing-masing meledak gol untuk terus menambah derita Kelantan FC.

Bergson melengkapkan hatrik pada minit ke-72, manakala pemain gantian Ahmad Aysar Hadi Mohd. Shapri menutup pesta gol dengan jaringan ke-10, sekali gus mencatat kemenangan terbesar JDT musim itu.

Kemenangan 10-0 ke atas DPMM FC sekali lagi membuktikan betapa dominannya JDT dalam kancah bola sepak tempatan, dengan barisan pemain yang kekal lapar memburu kejayaan di setiap pentas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram