Pahang lagi awal rasai keperitan Selangor, kempunan kutip walaupun satu mata lepas 3 aksi di Asia


  • Podium
  • Sabtu, 25 Okt 2025

Kekalahan kepada Persib Bandung sedikit sebanyak menamatkan perjalanan Selangor FC di pentas Asia musim ini. — Agensi

PRESTASI mengecewakan ditampilkan Selangor FC dalam ketiga-tiga perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two apabila mereka gagal meraih sebarang mata setakat ini.

Aksi pembukaan menyaksikan skuad Gergasi Merah tumpas 2-4 kepada Bangkok United di laman sendiri yang menceritakan pasukan tersebut masih belum cukup bersedia bagi kempen kali ini.

Selepas itu, mereka sekali lagi mengalami keputusan sedemikian ketika bertandang ke Singapura untuk hadapi Lion City Sailors yang meletakkan Selangor FC di tangga tercorot Kumpulan G.

BACA LAGI: Tewas semua 3 aksi ACL Two, prestasi Selangor memalukan setaraf jaguh kampung

BACA LAGI: Cuma beraksi 6 minit, sekali lagi cedera bukannya petanda karier Abe bersama Sang Penyu ternoktah

Skuad Gergasi Merah menduduki tangga tercorot Kumpulan G selepas tiga perlawanan. Facebook/ACL

Keputusan mengecewakan turut dicatatkan pada Khamis dalam aksi ketiga kumpulan yang mana wakil negara itu dikalahkan Persib Bandung di tempat lawan.

Kekalahan tersebut sedikit sebanyak menutup harapan Selangor FC untuk ke pusingan seterusnya dengan penyokong bola sepak tanah air berpandangan mereka sememangnya tidak bersedia bagi kempen Asia kali ini.

Malah, tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi pembukaan itu membuatkan ramai berasakan penyertaan skuad Gergasi Merah di pentas Asia kali ini adalah yang paling mengecewakan dalam kalangan pasukan tempatan.

Tetapi, ini bukanlah kali pertama kelab tanah air menampilkan aksi mengecewakan kerana hampir 20 tahun lalu, Pahang FA juga pernah bergelut dalam saingan Piala AFC.

Skuad Tok Gajah layak ke pentas Asia setelah berjaya menjulang Piala FA 2005/06 sementara Negeri Sembilan FA turut meraih tiket hasil kejayaan di pentas Liga Super.

Jaihan Kittisak of Osotspa and Sahrulnizam of Pahang fighting for the ball during their match at Shah Alam Stadium yesterday

Sahrulnizam (kiri) ketika beraksi menentang Osotsapa sebagai pasukan tuan rumah dalam aksi Piala AFC 2007.

Tumpuan lebih terarah kepada Pahang yang dibarisi nama-nama besar negara seperti Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar serta diperkuatkan pemain import termasuk duo pertahanan dari Australia, John Tambouras serta Ante Juric.

Namun, kehadiran masing-masing tidak dapat menjadi tonik tambahan buat pasukan Pantai Timur itu dalam memberi saingan dalam Kumpulan F yang turut mengandungi Tampines Rovers (Singapura), Mohun Bagan (India) serta Osotsapa (Thailand).

Ujian berat sudah dirasakan sejak awal apabila Pahang tewas 0-4 dalam aksi pembukaan kepada Osotsapa sebelum sekali lagi tumpas di laman sendiri kepada Mohun Bagan.

Dalam aksi ketiga pula, skuad Tok Gajah yang beraksi sebagai tuan rumah di Stadium MPPJ, Selangor sekali lagi dimalukan 1-4 ketika menerima kunjungan Tampines Rovers.

Tiga kekalahan berturut-turut itu sekali gus mengecilkan peluang Pahang untuk ke pusingan kalah mati yang kemudian mendesak pasukan untuk fokus di saingan domestik.

MOHUN BAGAN(INDIA)'S GOALKEEPER SHILTON PAUL SAVES THE BALL IN A GOAL ATTEMPT BY PAHANG(IN YELLOW) PLAYERS. IN THE AFC CUP TOURNAMENT, PLAYED IN DARUL MAKMUR STADIUM ,KUANTAN, LAST NIGHT.

Pahang tewas dalam semua perlawanan peringkat kumpulan pada Piala AFC 2007.

Keputusan untuk memberi tumpuan utama terhadap saingan Liga Super juga tidak membawa perubahan setelah mereka hanya menamtkan aksi liga di tangga kesembilan.

Malah, keengganan menampilkan aksi terbaik dalam saingan Piala AFC menyaksikan mereka tewas dalam tiga lagi baki perlawanan dengan 18 gol dibolosi secara keseluruhan.

Situasi sebegitu tidak boleh diulangi Selangor FC dalam kancah ACL Two musim ini kerana anak-anak buah Cristophe Gamel masih perlu menghargai sokongan hebat penyokong.

Di samping itu, kemenangan direkodkan di peringkat kumpulan akan memberi kesan positif terhadap arena bola sepak negara dari segi kuiptan mata MA Ranking Asia.

Tugasan seterusnya buat skuad Gergasi Merah dalam saingan ACL Two adalah pada 6 November depan apabila mereka bakal mengalu-alukan kehadiran Persib Bandung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram