
PELBAGAI tipu helah sanggup dilakukan sebilangan pihak tidak bertanggungjawab hari ini untuk mengelak dari membayar ketika mengunjungi kedai makan mahupun restoran.
Malah, baru-baru ini, sebuah kedai nasi kandar terkenal di Pulau Pinang menjadi mangsa terbaru apabila seorang pengunjung melabel dirinya sebagai pempengaruh media sosial kerana tidak mahu membayar selepas menikmati juadah.
Restoran dimaksudkan ialah Nasi Kandar Sulaiman yang menjadi tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara setiap kali berkunjung ke Pulau Mutiara itu.
BACA LAGI: Rentas beratus kilometer demi 5 lokasi popular nasi kandar kuah banjir di P. Pinang
BACA LAGI: Tahap kebersihan membimbangkan, restoran nasi kandar di Butterworth diarah tutup
"Ada seorang pelanggan ini datang bersama keluarga. Sebelum makan, dia datang kepada saya kata “saya influencer” dan saya pun kata ok. Lalu, dia pun tunjuk akaun TikTok yang mana dia mempunyai pengikut sekitar 40,000.
"Selepas itu, dia kata tak perlu bayar bukan? Dia kata akan ambil video NKS. Saya kata perlu bayar kerana mahu ambil video itu ikut suka dia sahaja, saya tidak menghalang. Tetapi, perlu bayar kerana bukan saya jemput dia," tulisnya.
Hantaran tersebut turut disertakan jumlah lauk-pauk diambil dengan pelanggan terbabit perlu membayar RM53.60 yang boleh dianggap sebagai jumlah berpatutan untuk empat pinggan nasi kandar.
Tetapi, disebabkan enggan berbelanja, pelanggan dimaksudkan masih menggunakan helah sedemikian meskipun restoran terbabit sudah terkenal tanpa mengharapkan media sosial.
"Jadi pempengaruh bukan bermaksud tak perlu bayar. Kalau 10 orang buat macam dia, habislah mamu akan bankrap terus hahahah sebab yang ini pun sudah RM53.
Pelanggan terbabit menyatakan akaun TikTok peribadinya mencecah 40,000 pengikut. — Agensi
"Lepas dia sudah makan ketika nak bayar, dia masih kata lagi “saya influencer”. Dia masih nak saya bagi percuma walaupun pada awal saya sudah beritahu yang perlu bayar," tulisnya lagi.
Seperti mana diketahui, sesetengah restoran atau kedai makan akan menjemput pempengaruh media sosial dengan harapan perkongsiannya dapat menarik lebih ramai pengunjung.
Jemputan tersebut akan sekali gus menyaksikan setiap makanan dipesan menjadi percuma dengan pemilik akan sedaya upaya menyediakan persembahan terbaik untuk mencuri perhatian ramai.
Namun, sekiranya tiada sebarang bentuk undangan dibuat, pemilik boleh mengenakan caj atau bayaran terhadap mana-mana pengunjung sekali pun hebahan dikongsikan mendapat tontonan tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram