'Dia dah lepak sedap kat kem', Azhan Rani kongsi pengalaman ditinggal 'guide', nyaris sesat daki Gunung Tahan


  • Massa
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Azhan Rani (kiri) terkesan dengan kejadian yang menimpa Allahyarham Mustaqeem Mansor (kanan) yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang.

TRAGEDI menimpa pendaki, Allahyarham Mustaqeem Mansor, yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang, Tanjung Malim, Perak, sudah pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.

Manakan tidak, mangsa hanya ditemui meninggal dunia pada 16 Oktober, dua hari selepas arwah sepatutnya pulang ke rumah apabila kehilangannya disedari isteri.

Media sebelum ini melaporkan arwah memulakan pendakian pada 10 Oktober bersama 10 rakan termasuk Malim Gunung Perhutanan (MGP) berlesen dari Bukit Fraser ke Gunung Liang, dengan tempoh perjalanan dijangka empat hari.

BACA LAGI : Dua malim ditahan, pendaki Gunung Liang meninggal dunia kerana masalah kesihatan, bukan terjatuh — Polis

BACA LAGI : Prinsip 'no one left behind' hanya mitos, misteri kematian pendaki Gunung Liang masih belum terungkai

Terkesan dengan kematian Mustaqeem, selebriti Azhan Abd. Rani mendakwa pernah ditinggalkan pemandu arah sehingga nyaris tersesat ketika mendaki Gunung Tahan suatu ketika dahulu.

Pelakon yang lebih dikenali dengan nama Azhan Rani berkongsi di laman Facebook miliknya pada Jumaat bahawa dia pernah dibiarkan menyusuri laluan berseorangan dalam keadaan hujan lebat tanpa dipedulikan malim gunung yang sudah tiba lebih awal di kem.

“Teringat tragedi Gunung Tahan dulu, waktu malam dalam hujan lebat bila guide (malim gunung) saya tinggalkan saya dari puncak ke Kem Berlumut.

"Hampir sesat redah trek dalam hujan. Dia (malim gunung) dah sedap lepak dekat kem. Kita sampai kem pukul 10 malam, basah lecun, sejuk dengan khemah yang hampir roboh  yang dia tak peduli pun,” tulisnya.

Mustaqeem dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lahar Tabut, Penaga, dekat Pulau Pinang pada Sabtu. — Facebook Kami Orang Penaga

Jelas pelakon berusia 49 tahun itu lagi, susulan situasi tersebut, dia terus membatalkan hasrat meneruskan cabaran mendaki disebabkan serik berdepan sikap tidak bertanggungjawab pihak terbabit.

“Esoknya juga saya terus keluar dari trek itu walaupun sepatutnya kita tinggal lagi semalam.

"Kejadian itu juga punca saya tak akan lagi ke Gunung Tahan walau apa orang nak cakap.

"Pengalaman masing-masing, dan kalau pendaki lambat, nak kenakan caj tambahan pun boleh saja runding.

"Tetapi soal tanggungjawab dan keselamatan perlu diutamakan. Yang dibayar ada tanggungjawab, yang membayar boleh saja bekerjasama.

"Harap ada banyak yang boleh kita belajar dan perbaiki daripada tragedi ini. Al-Fatihah buat arwah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Allahyarham Mustaqeem dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lahar Tabut, Penaga, dekat Pulau Pinang pada Sabtu.

Untuk makluman, Mustaqeem dilaporkan melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu.

Bagaimanapun, mangsa ditemukan sudah meninggal dunia di puncak gunung pada pukul 3.30 petang Khamis dengan sedikit kesan pendarahan pada hidung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram