[VIDEO] 'Abang tak boleh kerja, isteri, anak aku kena bunuh', gempar tragedi ngeri berlaku dalam rumah di Juru


  • Kes
  • Ahad, 19 Okt 2025

Dua beranak dipercayai dibunuh ditemui maut di sebuah rumah di Juru, dekat Seberang Perai, Pulau Pinang pada Sabtu.— Gambar/Facebook Arif Ayob

DUA beranak dipercayai dibunuh ditemui maut di sebuah rumah di Juru, dekat Seberang Perai, Pulau Pinang pada Sabtu.

Dalam kejadian menyayat hati itu, mayat wanita berusia lingkungan 50-an ditemukan di bahagian dapur di tingkat bawah rumah berkenaan dengan kecederaan parah di leher, manakala anak perempuannya berusia 11 tahun ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh suami wanita berkenaan ketika pulang ke rumah sekitar pukul 7.30 malam.

BACA LAGI: Merempat bawah flat selepas dihalau, nasib ibu tunggal warga Indonesia bersama 8 anak dibela penduduk Tampoi

BACA LAGI: [VIDEO] Panjat bumbung cuba pecah rumah, penduduk Jalan Kebun cekup lelaki Indonesia cuma pakai 'boxer', rakan jenayah masih bebas

“Polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian termasuk kemungkinan sama ada mangsa dirompak sebelum dibunuh atau sebaliknya.

“Pasukan forensik kini berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, tular satu rakaman suara dipercayai milik suami mangsa yang memaklumkan kepada rakannya bahawa dia menemukan isteri dan anak perempuannya mati dibunuh.

Menerusi rakaman berdurasi 20 saat yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp, lelaki berkenaan kedengaran dalam keadaan trauma dan menangis teresak-esak sambil memaklumkan tidak dapat hadir bekerja keesokan harinya akibat tragedi menimpa keluarganya.

"Assalamualaikum Daus, esok abang tak kerja tau, isteri aku dengan anak aku kena bunuh dekat rumah. Aku balik-balik tengok pintu terbuka, aku tengok bini aku melimpah darah, anak pun kena bunuh," katanya dalam nada sebak.

Rakaman itu meruntun hati warga maya yang mendengarnya, rata-rata menzahirkan rasa simpati serta mendoakan agar lelaki berkenaan tabah menghadapi dugaan berat tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram