Tahap kebersihan membimbangkan, restoran nasi kandar di Butterworth diarah tutup


  • Primer
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Arahan penutupan premis itu dilaksanakan di bawah Akta Makanan 1983 yang dikeluarkan PKD Seberang Perai Utara. — Majlis Bandaraya Seberang Perai

SEBUAH restoran nasi kandar di Butterworth diarah tutup serta-merta selepas premis tersebut didapati beroperasi dalam persekitaran kebersihan membimbangkan.

Tindakan tersebut dilakukan ketika Ops Bersepadu yang dijalankan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada Khamis.

Dalam satu kenyataan, MBSP berkata, arahan penutupan premis itu dilaksanakan di bawah Akta Makanan 1983 yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Tindakan arahan penutupan itu dilakukan ketika Ops Bersepadu yang dijalankan MBSP pada Khamis. — Majlis Bandaraya Seberang Perai

"Dalam pada itu, sebanyak empat kompaun berjumlah RM4,000 serta dua notis atas kesalahan meletakkan halangan di tempat awam dan kegagalan mengemukakan visa pekerja asing yang sah turut dikeluarkan kepada pemilik restoran berkenaan," kata kenyataan.

Operasi terbabit diketuai oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MBSP, dengan kerjasama Direktorat Penguatkuasaan MBSP dan PKD Seberang Perai Utara.

Sementara itu, MBSP menegaskan bahawa operasi itu mencerminkan komitmen penuh pihak berkuasa dalam memastikan kebersihan, keselamatan dan pematuhan undang-undang di premis makanan berada pada tahap yang tertinggi.

"Selain itu, semua pengusaha premis makanan diminta supaya sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan dan memastikan premis sentiasa bersih, selamat dan mematuhi standard yang ditetapkan demi kesejahteraan masyarakat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram