[VIDEO] Sekali lagi bolos awal, Nidzam akui 'lambat panas' punca NSFC cicir mata di Bandaraya


  • Podium
  • Ahad, 05 Okt 2025

MOMENTUM Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super musim ini terus terumbang-ambing selepas mengalami kekalahan kepada Penang FC dalam pertembungan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.

Dua gol daripada Tchetche Kipre dalam perlawanan tersebut menyaksikan tuan rumah membawa pulang tiga mata penuh buat kali pertama selepas enam perlawanan.

Meskipun skuad Jang cuba mengikat kedudukan menerusi jaringan lewat Faith Obilor, ia belum cukup untuk mengelak pasukan pelawat dari pulang dengan tangan kosong.

BACA LAGI: Bekalan selesa 5 gol, tak salah Nidzam Jamil turunkan 3 senjata 'terpendam'

BACA LAGI: Ubah formasi atau cari pengganti? Formula Nidzam Jamil ditagih di sebalik kehilangan jeneral NSFC

Skuad Jang berdepan risiko tergelincir dari kelompok lima teratas Liga Super susulan kekalahan itu. Facebook/MFL

Kekalahan itu disifatkan berpunca dari kesilapan sendiri oleh pengendali Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil yang beranggapan anak-anak buahnya tidak menyesuaikan diri pada awal perlawanan.

"Berdasarkan aksi petang ini (Sabtu), 10 minit pertama kita bermula dengan tidak cukup baik dan nampak kita tidak bersedia. Mungkin panik dan mungkin kita tak cukup bersedia.

"Penang FC juga bagus dari segi pertahanan dan kita perlu perbaiki hal ini. Saya beranggapan (lambat settle down) dan pada babak kedua, kita cuba bangkit dengan turunkan ramai pemain bersifat menyerang dan mengambil risiko," katanya.

Jelas Nidzam, perancangan itu sedikit terkesan apabila Kipre meledak pada minit ke-49 permainan yang menjejaskan pelan permainan cuba diterapkan.

Ini bukanlah kali pertama Negeri Sembilan FC tercicir mata ketika bertandang ke tempat lawan musim ini kerana situasi sama turut disaksikan ketika bertandang ke Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang untuk berdepan Imigresen FC.

Isu tersebut tidaklah begitu memberi kesan kerana skuad Jang terus kukuh di tangga kelima dalam carta, namun ia akan memberi kesan jangka masa panjang buat pasukan yang mahu merebut slot ke pentas Asia musim depan.

Kekalahan itu turut melunturkan semangat penyokong yang terus menyuarakan rasa tidak senang berhubung kealpaan benteng pertahanan selepas sekali lagi dibolosi.

"Dah berapa perlawanan kita bolos terlebih dahulu ini, tidak mungkin tak nampak lagi? Kipre tu umur sudah 37 tahun pun boleh lepasi pertahanan kita yang lebih muda. Apa kata anda coach?" soal Naza Baseri.

"Pihak lawan menyerang kerana pertahanan kita bermasalah, dari awal permainan dah nampak pertahanan lemau. 80 peratus perlawanan Negeri Sembilan FC dibolosi," kata Nass Ariss.

"Belum ada sekali pun aksi di tempat lawan kita menang, kasihan buat penyokong yang datang dari jauh. Perlawanan hari ini nampak jauh berbeza dengan aksi menentang Sabah sebelum ini, di mana silapnya itu?" kata Miza Hashim.

Meskipun terus berada dalam kelompok lima teratas Liga Super, kekalahan Negeri Sembilan FC membuka ruang buat Selangor FC mahupun PDRM FC memintas skuad Jang.

Perancangan lebih rapi perlu dibuat Nidzam menjelang aksi liga akan datang, iaitu semasa berdepan skuad Sang Saka Biru di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 25 Oktober depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram