Bersedialah Sabah, mustahil tundukkan Jang Hobin yang sedang 'on form' di Paroi


  • Podium
  • Sabtu, 27 Sep 2025

Sabah FC akan berkunjung ke Paroi untuk aksi Liga Super menentang skuad Jang pada Sabtu. — Facebook/NSFC

SABAH FC di permulaan musim 2024/2025 seperti hilang arah tuju daripada tahun-tahun sebelumnya apabila setakat ini masih tidak merekodkan sebarang kemenangan selepas mengharungi empat perlawanan Liga Super.

Pencapaian terbaik skuad The Rhinos setakat ini sekadar merekodkan tiga keputusan seri dan baru sahaja dimalukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan 0-8 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 21 September lepas. 

Tidak pasti di mana silapnya Sabah FC musim ini sama ada kehilangan beberapa tonggak utama seperti Saddil Ramdani, Park Tae-su dan yang beberapa lagi atau pun percaturan jurulatih. 

BACA LAGI: Pelik tapi benar, Sabah-Penang terikut jejak 2 pendatang baharu Liga Super

BACA LAGI: [VIDEO] Makin tajam depan gawang, striker Sabah-Selangor pimpin senarai penjaring hatrik Liga Super

Sebelum ini, Sabah FC dikendalikan Datuk Ong Kim Swee selaku Ketua Jurulatih, digantikan dengan Martin Stano selama lapan bulan dan kini bertukar tangan kepada Jean-Paul de Marigny.

Kehadiran jurulatih dari Australia itu pada Ogos lepas bagaimanapun masih belum menunjukkan impak meskipun dia pengalaman luas di peringkat antarabangsa termasuk membimbing pelbagai peringkat umur pasukan kebangsaan Australia.

Di bawah bimbingan Kim Swee, Sabah FC berjaya menduduki tangga ketiga dalam Liga Super untuk musim 2022 dan juga 2023.

Situasi semasa Sabah FC itu nampaknya akan dimanfaatkan sebaiknya oleh Negeri Sembilan FC (NSFC) yang kini sedang berada pada prestasi terbaik mereka di kedudukan ketujuh dengan merekodkan satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan di tangan JDT. 

Oleh itu, Sabah FC perlu bersedia menghadapi cabaran getir apabila dijadualkan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu yang terkenal sebagai ‘kubur keramat’ buat pasukan pelawat.

Skuad Jang dilihat memiliki kelebihan besar menjelang pertemuan ini selepas menikmati tempoh rehat yang panjang susulan kali terakhir mereka beraksi adalah pada 20 September lalu ketika seri 1-1 menentang Imigresen FC di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. 

Rehat hampir satu minggu itu bukan sahaja memberi peluang pemain memulihkan tenaga, malah membolehkan ketua jurulatih iaitu Nidzam Jamil merangka taktikal terbaik untuk mengekang asakan Sang Badak.

Lebih membimbangkan buat skuad berpangkalan di Borneo itu, Negeri Sembilan terkenal dengan rekod kebal di laman sendiri apabila masih belum pernah tewas di Paroi musim ini. 

Kehebatan beraksi di hadapan penyokong sendiri pastinya menjadi tonik tambahan untuk skuad Jang bagi terus mengekalkan dominasi di halaman keramat mereka.

Dengan segala kelebihan yang memihak kepada pasukan tuan rumah, Sabah perlu tampil dengan perancangan rapi dan semangat juang luar biasa jika mahu membawa pulang sebarang mata dari Paro  yang sememangnya bukan destinasi mudah untuk ditakluki pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram