Penang FC bukan ukuran, tekanan fans Jang Hobin ujian sebenar Luqman Hakim


  • Podium
  • Khamis, 02 Okt 2025

Skuad Jang ketika ini mencatatkan dua kemenangan selepas menewaskan Selangor FC dan Sabah FC dalam saingan Liga Super. — Facebook/negerisembilanfc

SELEPAS mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super 2025/26, Negeri Sembilan FC (NSFC) dilihat berada pada landasan tepat untuk meneruskan momentum apabila bakal berkunjung ke Utara bagi menentang Penang FC pada 4 Oktober ini.

Kemenangan ke atas dua pasukan elit Liga Super iaitu Selangor FC dan Sabah FC jelas membuktikan kemampuan skuad Hobin Jang Hobin di bawah kendalian Nidzam Jamil yang berjaya menerapkan corak permainan serta taktikal berkesan.

Kini, mereka tampak bersedia untuk mengutip tiga mata lagi menentang Penang FC yang sedang bergelut di kedudukan tercorot liga.

BACA LAGI: Rahmat di sebalik dugaan, penggantungan bintang warisan beri peluang 3 pemain kian meningkat debut bersama HM

BACA LAGI: [VIDEO] Masih tak bolos lepas 7 perlawanan, aksi 'heroic' jumpa kelab Jepun lengkapkan resume Syihan Hazmi

Tumpuan utama menjelang pertemuan itu pastinya terarah kepada penyerang muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin yang dijangka kembali mengetuai jentera serangan NSFC selepas pulih daripada kecederaan.

Pemain berusia 23 tahun itu telah membuat kemunculan semula ketika NSFC menewaskan Sabah FC 3-0 baru-baru ini, meskipun hanya beraksi selama 25 minit.

Namun, aksi bertenaga yang ditampilkan Luqman berjaya mencuri perhatian para penyokong yang hadir di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Jovan Motika (tengah) kini menunjukkan taring dalam saingan Liga Super apabila mencetak enam gol dalam saingan Liga Malaysia. — Facebook/negerisembilanfc

Kebangkitan Luqman nyata membuka ruang buat dia berada dalam perancangan kesebelasan utama Nidzam Jamil.

Namun begitu, kehadirannya turut mengundang perdebatan dalam kalangan penyokong yang merasakan barisan serangan sedia ada, termasuk Jovan Motika dan Joseph Esso masih mampu memberikan impak besar tanpa perlu tergesa-gesa menyenaraikan Luqman dalam kesebelasan utama.

Kebergantungan terhadap kedua-dua penyerang itu sudah dapat disaksikan sepanjang musim, namun kelainan boleh diterapkan jika Nidzam mampu meletakkan penyerang muda berkenaan dalam kesebelasan utama.

Meskipun hasil daripadanya tidaklah cukup meyakinkan, ia sekurang-kurangnya mampu memberi nafas baharu buat pasukan yang mula diangkat sebagai pencabar utama musim ini.

Pengalaman Luqman (kanan) beraksi di Eropah sebelum ini menjadi nilai tambah yang diharapkan dapat menguatkan jentera serangan Negeri Sembilan. — Facebook/negerisembilanfc

Selain berdepan cabaran menentang Penang FC, Luqman turut perlu membuktikan bahawa dia benar-benar bersedia dari aspek fizikal dan mental bagi meyakinkan penyokong yang mengharapkan sentuhan berbisa daripadany, apatah lagi dengan latar belakang pengalaman beraksi di Eropah sebelum ini.

Cabaran sebenar buat Luqman bukan sahaja daripada lawan tetapi juga dari tekanan penyokong yang menginginkan prestasi konsisten, terutama selepas kembalinya dia dari kecederaan.

Keputusan menurunkan pemain berusia 23 tahun itu akan menjadi ujian utama bagi Nidzam dalam memastikan rentak kemenangan berterusan.

Namun begitu, dengan prestasi semasa pasukan serta potensi besar dimiliki Luqman, perlawanan itu bakal menjadi medan penting untuk dia menunjukkan kemampuannya, bukan sahaja sebagai penyerang utama, malah sebagai aset penting NSFC dalam usaha memburu kedudukan terbaik dalam Liga Super musim ini.

Negeri Sembilan kini dilihat berpeluang cerah untuk terus mencipta kemenangan, dan dengan suntikan semangat daripada pemain-pemain utama termasuk Luqman, misi membawa pulang tiga mata dari Pulau Pinang dilihat sebagai satu realiti yang boleh dicapai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram