Rahmat di sebalik dugaan, penggantungan bintang warisan beri peluang 3 pemain kian meningkat debut bersama HM


  • Podium
  • Rabu, 01 Okt 2025

Meskipun kehilangan tiga tonggak utama, skuad kebangsaan masih memiliki barisan pemain berkualiti untuk dipanggil ke kem kelak. — Facebook/malaysiant

BARU-BARU ini, kancah bola sepak tempatan dikejutkan dengan keputusan drastik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan hukuman ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pendaftaran tujuh pemain warisan.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces yang tidak dibenarkan beraksi untuk kelab masing-masing kerana berdepan penggantungan sama.

Dalam keputusan yang diumumkan, FIFA bukan sahaja mengenakan denda terhadap kesemua pemain terbabit, malah menggantung mereka daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak mustahil Selangor FC panggil semula bekas kapten, Alex demi pentas Asia lepas tukar jurulatih

BACA LAGI: [VIDEO] Abang Jojo tumbangkan lawan menerusi TKO, tunjuk skil lengkap 'elbow war'

Hukuman tersebut sekali gus memberi tamparan hebat kepada skuad Harimau Malaya, khususnya menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 Oktober di laman lawan, manakala perlawanan timbal balik dijadualkan pada 14 Oktober 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kemenangan dalam kedua-dua perlawanan tersebut amat penting bagi memastikan Malaysia terus berada di landasan untuk layak ke Piala Asia 2027.

Dengan enam mata penuh daripada dua perlawanan sebelum ini, kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dan 2-0 ke atas Nepal pada Mac lalu, Malaysia kini menduduki tangga teratas Kumpulan F.

Namun, ketiadaan tonggak utama seperti Hector Hevel, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo akibat penggantungan FIFA dijangka memberi impak kepada kekuatan pasukan.

Bagaimanapun, ketiadaan tonggak utama tersebut dijangka tidak akan merencatkan perancangan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski kerana masih terdapat pemain berkualiti yang boleh diketengahkan menjelang aksi tersebut.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dijangka akan dipanggil ke kem skuad kebangsaan menjelang aksi pertama menentang Laos.

1. Danial Asri

Siapa sangka, keputusan Danial Asri meninggalkan Selangor FC untuk beraksi bersama Kuching City FC akhirnya membuahkan hasil apabila namanya kini mula disanjung.

Dahulu, Danial yang sering diletakkan di bangku simpanan bersama skuad Gergasi Merah sering menerima kritikan daripada penyokong setiap kali dimasukkan sebagai pemain gantian.

Menyedari keadaan tersebut, penyerang kelahiran Rawang, Selangor itu mengambil keputusan menyertai The Cats pada jendela perpindahan lalu.

Tonggak The Cats, Danial Asri. Facebook/kuchingcityfc

Keputusan itu ternyata tepat apabila Danial berjaya menghidupkan kembali kariernya dengan meledak lima gol dalam lima penampilan, termasuk dua gol dalam saingan Piala FA.

Peningkatan prestasi itu amat bermakna bagi pemain berusia 25 tahun yang sanggup meninggalkan pasukan dan negeri kelahirannya demi mendapatkan peluang bermain lebih kerap.

Kejayaan tersebut menjadikan Danial Asri antara pemain yang kini berpeluang dipertimbangkan oleh Cklamovski untuk dipanggil ke skuad kebangsaan nanti memandangkan dia belum pernah dipanggil mewakili skuad kebangsaan.

2. Shahrul Nizam Ros Hasni

Bek tengah Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni semakin hangat disebut-sebut sebagai calon pilihan pengendali Harimau Malaya untuk dipanggil ke kem kebangsaan.

Prestasi konsisten yang ditampilkan bersama Sang Penyu dilihat mampu memperkukuhkan benteng pertahanan skuad Harimau Malaya.

Shahrul Nizam atau lebih mesra dikenali sebagai Nijey tampil dalam lapan perlawanan Liga Super bersama Terengganu FC musim ini, menunjukkan tahap kecergasan dan minit permainan yang mencukupi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Sharul Nizam antara nama yang wajar dipertimbangkan ke kem kebangsaan. Facebook/terengganufc

Dalam saingan Liga Super, Nijey membuktikan kemampuannya dengan mengekalkan gawang Terengganu dari dibolosi dalam tiga perlawanan, yang kesemuanya berakhir dengan kemenangan bagi pasukannya.

Rekod cemerlang itu menjadi faktor utama mengapa Shahrul Nizam wajar dipertimbangkan oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk beraksi pada pertemuan penting menentang Laos nanti.

3. Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman

Bekas bek kanan Kedah Darul Aman FC, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman kini menunjukkan prestasi cemerlang bersama Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW).

Beraksi di posisi pertahanan, pemain setinggi 1.78 meter itu tampil konsisten di bawah bimbingan jurulatih E. Elavarasan.

Setakat ini, Amirul Afiq telah beraksi dalam enam perlawanan bersama pasukan Pantai Timur tersebut mencatatkan rekod yang membanggakan.

Amirul Afiq kini beraksi cemerlang bersama Kelantan The Rea Warrios. Facebook/therealwarriors

Lebih menarik, dia menjadi tonggak utama Kelantan TRW dalam membantu pasukan meraih kemenangan penting ke atas Kuala Lumpur City FC pada pusingan pertama 16 saingan Piala FA pada 18 Ogos lalu.

Dengan prestasi yang semakin mantap, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, wajar mempertimbangkan untuk memanggil Amirul Afiq ke dalam skuad kebangsaan bagi memperkukuhkan barisan pertahanan tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram