
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan sebarang masalah untuk melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan UM-Damansara United menerusi agregat 10-3.
Bekalan lima gol yang diperoleh pada perlawanan pertama dibawa ke aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Khamis dengan penyokong sememangnya yakin akan kebolehan skuad Harimau Selatan.
Tetapi, meskipun sekali lagi mencetak lima jaringan, benteng pertahanan pasukan bimbingan Xisco Munoz jelas bermasalah sehingga dibolosi sebanyak tiga kali.
BACA LAGI: Di antara Hong Wan-Ibrahim Manusi-Wan Kuzain, siapa lebih layak gantikan Hector Hevel?
Prestasi Christian Abad dalam gawang skuad Harimau Selatan terus membimbangkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ini merupakan satu situasi merisaukan kerana kelab Selatan tanah air itu dikenali kerana memiliki benteng pertahanan cukup ampuh seperti mana disaksikan musim-musim sebelum ini.
Bagaimanapun, dalam perlawanan pada Khamis itu, JDT berkali-kali melakukan kesilapan sehingga membenarkan wakil dari Liga A1 Semi Pro itu mencetak tiga jaringan.
Penjaga gawang muda, Christian Abad menjadi tumpuan utama penyokong selepas menghadiahkan peluang buat UM-Damansara United, terutamanya ketika gol pertama yang dijaringkan Thankgod Michael.
Meskipun turut membuat beberapa tepisan sepanjang 90 minit permainan, prestasi ditonjolkan pemain dari Sepanyol itu membuatkan penyokong tidak mahu lagi melihat kelibatnya di atas padang.
"Dua perlawanan, enam gol (dibolosi). Abad perlu belajar lebih lagi, bagaimana jurulatih mahu beri peluang kalau bermain asyik bolos sahaja? Letakkan dia dalam JDT II dalam Liga A1 Semi Pro dahulu," kata Din Degawan.
Ibrahim mengalami debut sukar bersama skuad senior Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Mula-mula ambil Abad ini aku rasa dia boleh jadi pelapis buat penjaga gol JDT. Tetapi, selepas tengok dua perlawanan dia beraksi, rasanya dalam JDT II pun belum tentu lepas," kata Adam Zatul.
Selain itu, Ibrahim Manusi yang mencipta debut buat pasukan utama turut berdepan cemuhan kerana gol kedua pihak lawan berpunca dari kelekaan pemain itu dalam mengeluarkan bola.
Dia yang beraksi sebagai bek tengah gantian jelas bergelut menampilkan persembahan terbaik meskipun didampini dua bek berpengalaman, Park Jun-heong serta Junior Estdal.
"Keluar sahaja Shahrul Saad, terus (pertahanan) jadi lubuk, terutamanya Ibrahim tu. Dia terlalu gugup sebab mungkin bukan posisi terbaik dia," kata Minn Zecc.
"Perlawanan memalukan, dulu pemain simpanan JDT semua lawan gerun. Tetapi, kali ini, mereka main mahu tak mahu sahaja kerana bolos dengan mudah. Ibrahim Manusi lubuk untuk UM-Damansara United hasilkan gol," kata Hanz Han.
Kemaraan skuad Harimau Selatan ke suku akhir Piala FA musim ini bakal menyaksikan pasukan itu berdepan Penang FC dalam perlawanan yang belum ditentukan tarikhnya setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram