
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) masih belum merekodkan sebarang kemenangan selepas dua perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite setelah mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Machida Zelvia di laman sendiri pada Selasa.
Keputusan itu meletakkan wakil tunggal negara tersebut di tangga kesembilan dalam fasa liga dengan hanya satu mata direkodkan selepas mengalami kekalahan ketika aksi pembukaan menentang Buriram United di Thailand.
Ini merupakan satu situasi merisaukan buat skuad Harimau Selatan yang semestinya mahu kembali ke kelompok lapan teratas dengan segera untuk meloloskan diri ke pusingan kalah mati.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: JDT kecewa kesilapan teknikal, harap isu selesai segera
BACA LAGI: Usah bimbang fans JDT, 3 pilihan sedia ada boleh pikul tugas bintang digantung FIFA
Pertembungan epik ditampilkan semasa skuad Harimau Selatan terikat dengan Machida Zelvia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagaimanapun, sebelum perlu runsing mengenai nasib pasukan dalam pertandingan itu, JDT sepatutnya menarik nafas lega usai aksi getir menentang Machida Zelvia.
Meskipun penyokong sudah tentu mengharapkan kemenangan, keputusan seri berkenaan perlu diraikan kerana ia membuktikan skuad Harimau Selatan kian dihormati di pentas Asia.
Berdasarkan rekod, JDT pernah berdepan kelab dari Jepun sebanyak 11 kali sebelum berdepan Machida Zelvia dengan hanya satu daripadanya berakhir dengan kenangan manis buat pasukan Selatan tanah air berkenaan.
Malah, ketika dalam peringkat kumpulan dalam ACL 2023/24, skuad Harimau Selatan gagal mencuri sebarang mata dari Kawasaki Frontale kerana kedua-dua perlawanan menyaksikan kekalahan buat JDT.
Skuad Harimau Selatan tidak bernasib baik setiap kali menghadapi pasukan dari Jepun. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Keputusan seri direkodkan pada Selasa itu cukup untuk menceritakan bahawa wakil tunggal negara tersebut semakin digeruni, termasuk dari lawan sekitar Asia Timur.
Selain itu, perlawanan menentang Machida Zelvia menjadi medan buat penjaga gol utama, Syihan Hazmi membuktikan dirinya sudah bersedia menggalas tugas benteng pertahanan terakhir buat pasukan.
Musim lalu, pemain kelahiran Kelantan itu langsung tidak diberikan minit permainan di pentas Asia kerana pengendali terdahulu, Hector Bidoglio lebih meyakini khidmat Andoni Zubiaurre.
Kepercayaan tersebut dibalas dengan cukup baik memandangkan JDT berjaya menamatkan fasa liga di kedudukan ketiga dengan hanya lapan gol dilepaskan.
Syihan menampilkan aksi meyakinkan ketika memastikan gawangnya tidak dibolosi. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagaimanapun, situasi berubah apabila Xisco Munoz mula mencurahkan keyakinan kepada Syihan selepas Andoni dibolosi dua kali ketika kekalahan JDT di tangan Buriram United.
Kepercayaan berkenaan dibalas dengan baik setelah penjaga gol negara itu mengawal rapi benteng pertahanan Harimau Selatan bagi memastikan pasukan pelawat pulang dengan perasan hampa.
Penyokong JDT juga berhak untuk meraikan keputusan seri tersebut kerana ia menceritakan mentaliti pemain tidak terkesan dengan isu di luar padang.
Seperti mana diketahui peminat, tiga pemain JDT iaitu Jon Irazabal, Joao Figueiredo serta Hector Hevel dikenakan penggantungan 12 bulan oleh FIFA berikutan isu dokumentasi untuk melayakkan mereka beraksi buat Harimau Malaya.
Kesemua mereka terlibat dengan kerap dalam skuad Harimau Selatan sejak permulaan musim, termasuk ketika aksi pembukaan ACL Elite di Thailand tempoh hari.
Dari kiri: Kehilangan Irazabal, Figueiredo dan Hevel tidak memberi kesan terlalu besar terhadap JDT.
Tetapi, disebabkan hukuman dikenakan badan induk antarabangsa itu, khidmat masing-masing tidak dapat ditagih dengan kehilangan mereka mendesak Munoz mencari alternatif.
Percaturannya jelas membuahkan hasil kerana tiga pengganti iaitu Raul Parra, Afiq Fazail serta Ager Aketxe masing-masing memikul peranan cemerlang.
Ini menceritakan bahawa JDT bukan sahaja mempunyai penyelesaian terhadap setiap masalah yang timbul, malah mempunyai ruang menambah baik atas setiap kelemahan ketara pasukan.
Kebangkitan sudah tentu mula direncanakan pasukan itu menjelang aksi ACL Elite akan datang di China menentang Chengu Rongcheng pada 21 Oktober depan.
Perlawanan itu diharapkan mampu menjadi titik perubahan buat skuad Harimau Selatan yang mahu melihat kemenangan diraih segera supaya perjalanan pasukan tidak terhenti di fasa liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram