Lagu 'Dia milik orang' berkumandang, 3 kelab kempunan sambar bintang sasaran termasuk Luqman Hakim-Ibrahim Manusi


  • Podium
  • Selasa, 22 Jul 2025

JDT bertindak lebih pantas dengan mengumumkan secara rasmi kehadiran Ibrahim Manusi ke dalam skuad mereka. — Facebook/JST

HASRAT beberapa kelab utama Liga Malaysia untuk memperkuatkan skuad masing-masing menjelang musim 2025/2026 tampak tidak kesampaian apabila beberapa pemain tempatan yang menjadi buruan kini sah menyertai pasukan lain.

Pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC, Selangor FC dan Terengganu FC antara yang terpaksa menelan kekecewaan selepas pemain yang hampir dimuktamadkan penyertaannya tiba-tiba membuat keputusan berbeza, sekali gus menggagalkan perancangan awal pasukan terbabit.

Segalanya tampak berjalan lancar buat kelab-kelab tersebut pada awalnya apabila pemain seperti Syafiq Ahmad, Luqman Hakim Shamsudin dan Ibrahim Manusi dilaporkan sudah bebas kontrak atau menamatkan tempoh pinjaman bersama pasukan lama.

BACA LAGI: 'Kpah Sherman bukti import terpakai masih releven', Pak Ngah dijangka jadi percaturan terbaik Aidil Sharin

BACA LAGI: Kelab Lembah Klang terus berbelanja, striker dilupakan JDT antara 3 nama sedang dipantau

Namun, detik akhir menyaksikan ketiga-tiga pemain memilih untuk berhijrah ke destinasi baharu.

Seumpama lagu berjudul Dia milik orang berkumandang, situasi itu cukup mengejutkan penyokong tempatan yang sebelum ini teruja dengan berita perpindahan tersebut, namun akhirnya terpaksa merelakan pemain harapan mereka menyarung jersi lain.

1) Syafiq Ahmad

Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad akhirnya sah menjadi milik pendatang baharu Liga Super iaitu kelab dari Brunei, DPMM FC.

Sebelum ini, Syafiq dikaitkan dengan perpindahan ke Imigresen FC, namun segala spekulasi terhenti selepas DPMM FC mengumumkan secara rasmi penyertaan pemain berusia 30 tahun itu ke dalam skuad mereka.

Perkembangan itu sekali gus menutup peluang buat Imigresen FC mendapatkan khidmat Syafiq, yang sebelum ini dilaporkan menjadi antara sasaran utama mereka menjelang musim baharu.

Syafiq sah menjadi milik DPMM FC. — Facebook/

Penyertaan Syafiq ke DPMM FC turut disambut baik oleh penyokong tempatan yang mahu terus menyaksikan kelibatnya di pentas Liga Super, apatah lagi Sang Kenari tidak akan beraksi dalam saingan tertinggi itu musim depan.

Di DPMM FC, Syafiq berpeluang untuk bergandingan bersama beberapa bintang tempatan seperti Fairuz Zakaria, Tommy Mawat Bada dan R. Kogileswaran yang pastinya menjanjikan satu kombinasi menarik buat pasukan kendalian kelab dari Brunei itu.

Untuk rekod, Syafiq membuat 15 penampilan bersama KDA FC musim lalu, menjaringkan dua gol dan mencatat satu bantuan jaringan ketika dipinjamkan ke pasukan Hijau Kuning.

2) Ibrahim Manusi

Selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 26 April lalu, nama bekas pemain tengah Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi atau lebih dikenali sebagai Baim menjadi rebutan beberapa kelab utama Liga Malaysia.

Antara yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu ialah naib juara Liga Super 2024, Selangor FC.

Ketika itu, Gergasi Merah dilihat hampir melengkapkan perpindahan Baim, namun terpaksa menunggu perkembangan status Sri Pahang yang masih belum diputuskan menjelang musim baharu ketika itu.

JDT mengorak langkah lebih awal dengan membawa masuk Baim sebelum disambar oleh kelab lain. Facebook/JST

Ini kerana Ibrahim masih terikat kontrak bersama Sri Pahang sehingga penghujung musim 2027, sekali gus menyukarkan mana-mana pasukan untuk mendapatkannya secara percuma dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, impian Selangor untuk memperkukuh benteng pertahanan mereka dengan kehadiran Baim tidak kesampaian apabila juara 11 kali berturut-turut Liga Super, JDT bertindak lebih pantas dengan mengumumkan secara rasmi kehadiran pemain muda berbakat itu ke dalam skuad mereka.

Ibrahim menjadi pemain ketiga disahkan menyertai skuad Harimau Selatan bagi musim 2025, selepas mengumumkan dua pemain import, Jairo Da Silva dan Antonio Glauder.

Bagaikan luka tak berdarah, Tok Gajah juga sah tidak berada dalam peta bola sepak tanah air musim depan.

3) Luqman Hakim Shamsudin

Terengganu FC (TFC) terpaksa akur kehilangan peluang mendapatkan khidmat penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin selepas pemain itu sah menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi saingan Liga Super musim depan.

Kejayaan NSFC yang dianggap sebagai pasukan bukan pilihan membawa pulang bekas pemain KV Kortrijk itu mengejutkan ramai pihak, termasuk TFC yang sebelum ini dikaitkan kuat dengan Luqman.

Kepulangan pemain berusia 22 tahun itu ke tanah air bukan sekadar memperkuatkan jentera serangan skuad Jang, malah turut dilihat sebagai simbol kebangkitan semula bola sepak Negeri Sembilan serta suntikan semangat buat penyokong setia mereka.

Luqman Hakim lebih memilih untuk menyertai skuad Jang berbanding ke Sang Penyu. Facebook/NSFC

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd Sabri Abas mengesahkan pihaknya telah menunjukkan minat terhadap Luqman dan telah mula menjalankan perbincangan awal bagi membawa masuk penyerang kelahiran Kelantan itu ke Pantai Timur.

Namun, Negeri Sembilan bertindak lebih pantas apabila berjaya melengkapkan urusan perpindahan dan memperkenalkan Luqman sebagai pemain baharu mereka, sekali gus menamatkan spekulasi ke mana haluan penyerang muda itu selepas menamatkan kontrak di Belgium.

Di NSFC, Luqman bakal bergandingan dengan beberapa pemain berpengalaman seperti Ahmad Khuzaimi Piee dan penjaga gol Muhd Azri Abd Ghani dan kehadirannya diharap mampu menjadi pencetus pembangunan bakat muda dalam skuad kendalian pasukan Rusa musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram