
SELEPAS kira-kira seminggu dari kes hukuman FIFA berhubung tujuh pemain warisan, tiada sebarang perkembangan lanjut apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menunggu keputusan akhir badan induk bola sepak antarabangsa itu.
Dalam kenyataan media terakhir dikeluarkan berhubung isu tersebut, organisasi tempatan berkenaan menyatakan proses rayuan akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh penghakiman diterima.
Ini merupakan satu penantian penuh debaran buat peminat kerana setiap kata putus dikeluarkan FIFA akan memberi kesan terhadap masa depan bola sepak tanah air.
BACA LAGI: Hamidin sebagai Presiden Kehormat, FAM tegaskan tiada penindihan kuasa — Joehari Ayub
BACA LAGI: Hamidin terbang ke ibu pejabat FIFA, kemuka rayuan isu skandal pemain warisan
Selain itu, keputusan tersebut bakal menceritakan nasib ketujuh-tujuh pemain warisan yang tidak dibenarkan beraksi selama 12 bulan dengan penggantungan berkenaan bakal memberi impak besar terhadap karier masing-masing.
Namun, FAM masih memulakan usaha rayuan apabila Presiden Kehormat, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilaporkan sudah bertolak ke ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland pada Ahad lalu bagi membincangkan masalah terbabit.
Rundingan itu seperti tidak membawa sebarang perubahan kerana Ahli Majlis FIFA tersebut belum berkongsi sebarang berita baik berhubung hukuman dialami FAM dan tujuh pemain terbabit.
Malah, pada Jumaat, Hamidin kelihatan berada di samping presiden badan induk antarabangsa tersebut, Gianni Infantino dengan foto terbabit kemudian dimuat naik di Instagram.
Gambar tersebut diambil selepas perbincangan antara Ahli Majlis FIFA dari seluruh negara berhubung pelbagai perkara, termasuk pemilihan Uzbekistan dan Azerbaijan sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2027.
Hamidin (kanan) diharapkan mampu membawa sinar baharu buat masa depan FAM. — Facebook/FAM
Menariknya, rata-rata peminat berpandangan rundingan Hamidin dan Infantino berhubung masalah berkait FAM itu tidak membawa sebarang hasil positif melihat kepada riak wajahnya.
"Senyum ketat sahaja, geram dengan FAM lah tu. Sudahlah buat silap, selepas itu apabila FIFA suruh adakan rayuan dalam 10 hari hukuman, FAM kata tunggu keputusan penuh untuk buat rayuan," kata Muhammad Marzuqi Burhanudin.
"Tengok muka (Hamidin) seperti ada masalah sahaja. Apa pun, tunggu 10 hari lagi keputusan dari FIFA dan harapkan itu yang terbaik untuk Malaysia," kata Didie Seven Wan.
"Muka tak senyum maksudnya berita kurang baik. Harap-harap ada sinar buat pemain warisan Malaysia," kata Noramin Amin Min.
Berdasarkan perkiraan awal, permohonan awal FAM akan berakhir pada Isnin depan dengan perkiraan itu akan berakhir berikutan perubahan perancangan badan induk bola sepak negara terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram