Jika rayuan ditolak FIFA, FAM tak teragak-agak heret kes ke CAS


  • Podium
  • Rabu, 01 Okt 2025

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan. — Facebook/MalaysiaNT

 

 

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan berdiam diri di sebalik perhatian umum yang semakin meningkat, namun memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dilakukan untuk merayu terhadap sekatan yang dikenakan oleh FIFA.

Sekiranya rayuan berkenaan tidak berjaya, mereka berkemungkinan akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, badan induk bola sepak negara itu telah pun memulakan perbincangan dalaman untuk menangani isu berkenaan,dengan ahli majlis eksekutif turut diberi taklimat dalam mesyuarat di ibu pejabat FAM di Kelana Jaya pada Selasa.

BACA LAGI: Tambah garam di luka Harimau Malaya, media China tuduh Vietnam ‘kaki repot’ ke FIFA

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Indonesia nafi terlibat dalam sekatan FIFA terhadap FAM

"Kami telah mengadakan mesyuarat semalam (Selasa) untuk memberi taklimat kepada ahli majlis eksekutif mengenai situasi, sekatan serta langkah yang perlu diambil bagi menyelesaikan perkara ini.

"Lebih baik mereka mendapat maklumat terus daripada kami berbanding daripada pihak lain. Kami kini menunggu asas penghakiman yang dibuat oleh FIFA dan juga keputusan Tribunal Bola Sepak mereka," kata Yusoff.

Yusoff berkata, badan induk berkenaan hanya dapat menyusun rayuan selepas menerima penghakiman penuh daripada FIFA.

"Selepas itu, kami akan menyediakan hujah rayuan berdasarkan fakta yang diberikan oleh FIFA. Jika rayuan tidak berjaya, maka kami akan melihat pilihan lain iaitu membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)," katanya.

Beliau menambah, FAM menjangka akan menerima laporan penuh daripada FIFA menjelang hujung minggu ini.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi.

Ditanya mengenai bentuk kesilapan teknikal yang membawa kepada hukuman tersebut, atau sama ada FAM dapat mengesahkan keturunan pemain terbabit khususnya selepas FIFA mendedahkan dokumen mereka telah dipalsukan, Yusoff tetap berhati-hati.

"Buat masa ini saya tidak boleh ulas lebih lanjut sehingga fakta sebenar diperoleh. Kami tidak boleh pergi lebih jauh selagi asas penghakiman tidak berada di tangan kami.

"Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah kerja-kerja sedang dijalankan untuk menangani situasi ini," katanya.

Cubaan turut dibuat untuk menghubungi Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, yang sebelum ini mendedahkan terdapat kesilapan teknikal oleh seorang kakitangan ketika pendaftaran pemain pada Ahad lalu, namun beliau tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut.

Pada Jumaat lalu, FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta

Selain itu, FIFA juga menggantung tujuh pemain warisan iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca dan Joao Figueiredo.

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan. Facebook

Walaupun tiada butiran terperinci diberikan mengenai punca ketidakaturan tersebut, ramai tertanya-tanya apa yang mendorong FIFA menyiasat isu berkenaan secara mendalam.

Difahamkan bahawa Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) telah membuat laporan mengenai pemain-pemain tersebut selepas Malaysia menewaskan mereka 4-0 dalam aksi kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2026 di Kuala Lumpur pada 10 Jun lalu.

Laporan tersebut dibuat sehari selepas perlawanan tersebut dan FIFA menjalankan siasatan selama beberapa bulan sebelum mengeluarkan kenyataan hukuman pada 26 September.

Menurut sumber yang dekat dengan badan induk bola sepak dunia itu, butiran penuh mengenai isu berkenaan dijangka akan didedahkan di laman web rasmi mereka dalam tempoh satu atau dua hari lagi. — The Star/T. AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram