Garces ditohmah fans Garuda, 6 lagi bintang warisan Harimau Malaya terpalit skandal masih ‘kekalkan’ Jalur Gemilang


  • Podium
  • Khamis, 02 Okt 2025

Deportivo Alaves mengambil keputusan untuk menggantung sementara khidmat Garces daripada beraksi susulan denda daripada FIFA berhubung pemalsuan dokumen ketika menyarung jersi skuad kebangsaan. — Instagram/Garces

PENYOKONG Indonesia seolah-olah 'menyimbah petrol ke api' di tengah-tengah kehangatan skandal revolusi Harimau Malaya apabila mendakwa bek tengah Depertivo Alaves, Facundo Garces menurunkan Jalur Gemilang di bio Instagram miliknya. 

Garces bersama enam pemain warisan lain iaitu Gabriel Palermo, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel digantung selama setahun daripada aktiviti bola sepak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tuduhan yang dilempar oleh sebahagian penyokong skuad Garuda berkenaan seolah-olah mahu melagakan isu hangat berkenaan, dengan ia seperti menguji kesetiaan pemain berkenaan terhadap Harimau Malaya. 

BACA LAGI: Rodrigo Holgado terbang ke Malaysia, mahu selesaikan isu digantung FIFA

BACA LAGI: Tambah garam di luka Harimau Malaya, media China tuduh Vietnam ‘kaki repot’ ke FIFA

Hal ini kerana, sejak menyarung jersi Harimau Malaya, Garces sebenarnya tidak pernah meletak bendera Malaysia pada bio Instagram dan hanya meletak Jalur Gemilang pada kapsyen hantaran. 

Beberapa bulan lepas menyaksikan pemain berusia 26 tahun berkenaan menyatakan bangganya dapat menyarung jersi Harimau Malaya apabila merekodkan debutnya ketika menang ke atas Vietnam di pusingan Kelayakan Piala Asia 2027.

"Saya rakyat Malaysia, keturunan nenek saya. Dan saya bangga dapat bermain untuk negara saya," katanya memetik laporan media pada Ogos lepas.

Sementara itu, enam pemain lain juga masih mengekalkan identiti sebagai sebahagian rakyat Malaysia pada Instagram masing-masing dengan ada yang meletak bendera Malaysi di bio mereka.

Tangkap layar Instagram Garces.

Dalam pada itu, FAM yang diberi tempoh selama 10 hari untuk membuat rayuan difahamkan masih belum membuat sebarang rayuan kepada FIFA berhubung penggantungan dan denda terhadap tujuh pemain warisan negara.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yang mengakui badan induk itu sedang menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan itu dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Figueiredo masih meletakkan bendera Malaysia di bio Instagram.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram