SIKAP ramah seorang pengawal keselamatan di Tol Jawi sekitar Pulau Pinang sebelum ini menjadi tumpuan selepas laman media sosial, Penang Kini berkongsi keterbukaannya ketika sedang bertugas.
Dalam video pernah dimuat naik, petugas berkenaan tidak pernah lekang dalam membantu pengguna yang terperangkap ketika melalui pintu tol terbabit.
Selain itu, lelaki berbangsa India tersebut kerap disebut-sebut pengguna jalan raya sekitar Pulau Pinang kerana mengamalkan sikap ramah sepanjang bertugas.
BACA LAGI: Tiada akta lindungi tugas pengawal keselamatan, hanya ada cota kayu
BACA LAGI: Ramai anak muda berebut nak jadi pengawal keselamatan, dipandang tinggi — Presiden MUSGA
Perkongsian tular berkenaan kemudian membuatkan pengguna TikTok, Razi6969 yang menyapa petugas tersebut dengan menyatakan kelibatnya mula terkenal di media sosial.
"Sudah ternama ya sekarang, tahniah! Tetapi, uncle memang baik pun. Terim kasih tempoh hari kerana memberikan air kotak kepada anak," kata pemilik akaun terbabit.
Pengawal berkenaan tampak keletihan apabila sempat mengesat peluh di wajahnya, namun masih melayani pengguna jalan raya itu yang jelas menceritakan keikhlasannya semasa bertugas.
Dia juga sempat menyampaikan pesanan terhadap pengguna TikTok itu dengan menyatakan sikap baik hati ditunjukkan tanpa mengharapkan sebarang balasan mahupun belas kasihan.
"Kalau kita nak orang buat baik, kita juga sendiri perlu berbuat baik. Itu sahaja, betul tak? Saya suka kalau begitu kerana Tuhan sudah berikan semua yang terbaik.
"Saya datang sini, semua kawan-kawan berbuat baik terhadap saya, jadi kita sendiri perlu berbuat baik. Apa sahaja hal baik yang dibuat, Tuhan akan sayang," katanya.
Sikap positif dan nilai murni ditonjolkan pengawal keselamatan tol tersebut bukan sahaja menjadi buah mulut pengguna laluan tersebut, malah menyentuh hati netizen di media sosial.
"Dalam seminggu, ada saya dua ke tiga kali pergi ke Nibong Tebal dan pasti akan jumpa uncle ini. Ingatkan 'bro', rupanya mereka kata sudah cecah tahap uncle.
"Saya tidak pernah nampak pengawal keselamatan di lebuh raya sebegini, uncle ini memang sumber inspirasi. Hati dia sangat baik, nampak sangat ikhlas bekerja," kata Ashraf Resdong's.
"Pakcik ini sangat baik dan dia sering menunjukkan tauladan baik ketika kami melalui tol ini. Kami amat menghormatinya dan semoga ALLAH rahmati uncle ini," kata Mohammad Al Amin.
"Terima kasih (kerana) uncle selalu memberi senyuman kepada kami yang selalu melalui Tol Jawi, semoga uncle diberi kesihatan dan dimurahkan rezeki," kata Pak Tam Lutfi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
