
JIKA anda mempunyai tabiat scroll tanpa henti pada waktu malam, besar kemungkinan anda pernah terserempak dengan pelbagai trend kecantikan yang tular di TikTok.
Daripada solekan tired girl hinggalah teknik pita angkat muka, semuanya dilakukan atas nama mahu kelihatan cantik.
Tetapi adakah trend-trend tersebut benar-benar memberi manfaat?
Berikut tujuh trend kecantikan pelik yang pernah menguasai FYP dan sebab mengapa ia tidak semestinya baik untuk anda ikuti serta cadangan yang lebih selamat untuk dicuba.
1. Tired Girl Aesthetic
Trend ini meraikan lingkaran gelap bawah mata, wajah kusam dan solekan tidak kemas, kononnya menggambarkan realiti hidup moden yang penuh keletihan.
Namun, tampil terlalu letih boleh memberi imej tidak profesional.
Sebagai ganti, gunakan skin tint untuk menyeimbangkan tona, sedikit concealer di bawah mata dan balm rona pic pada pipi serta bibir untuk wajah lebih segar.
2. Solekan Moo Deng
Diinspirasikan daripada anak badak bernama Moo Deng yang terkenal di Thailand, trend solekan ini menekankan kulit berkilau secara berlebihan, pipi merah jambu pucat serta sapuan kelabu pada mata dan bibir.
Namun, gaya sebegini mungkin kurang sesuai untuk penggemar kecantikan di Malaysia.
Sebagai pilihan yang lebih selamat, gunakan highlighter ringan di tulang pipi serta sapuan pemerah pipi merah jambu lembut pada pipi dan bibir bagi menghasilkan penampilan segar dan manis.
3. Douyin Unrecognisable Makeup
Trend dari China ini menampilkan transformasi wajah yang ketara dengan penggunaan eyeliner panjang, bulu mata palsu, pembentukan wajah yang sangat tajam (heavy contouring) serta sapuan highlight yang dramatik.
Hasilnya memang mengagumkan, namun gaya ini memerlukan masa, tenaga dan kemahiran tinggi untuk dilaksanakan.
Sebagai alternatif lebih mudah, anda boleh menggunakan bulu mata palsu bagi menambah definisi pada mata sekali gus menjadikan wajah kelihatan lebih segar tanpa perlu solekan yang terlalu kompleks.
4. Morning Shed Routine
Trend ini melibatkan penggunaan pelbagai produk dan aksesori kecantikan secara serentak sepanjang malam, termasuk masker kolagen, tampalan kedut, pita mulut hinggalah penggulung rambut tanpa haba.
Konsepnya adalah untuk bangun dengan kulit sempurna dan rambut yang sudah siap digayakan.
Namun, penggunaan berlapis-lapis produk sebegini boleh merosakkan kulit, menyebabkan iritasi atau jerawat.
Sebagai ganti, amalkan rutin penjagaan kulit yang konsisten seperti mencuci wajah dengan betul, mengekalkan kelembapan kulit serta melindungi dengan pelindung matahari untuk hasil yang lebih sihat dan selamat.
5. Heat Stroke Makeup
Trend ini adalah meniru rupa kulit terbakar matahari dengan pemerah pipi dan bronzer hingga ke leher serta badan, lengkap dengan kesan tali baju.
Realitinya, gaya ini tidak praktikal untuk kehidupan harian.
Cara lebih mudah ialah menambah pemerah pipi merah atau coral di pipi dan batang hidung, ditambah tompokan freckles halus menggunakan pensil kening.
6. Glue Stick Brows
Tip murah untuk alis tebal dan teratur menggunakan gam kertas sekolah.
Meskipun berkesan, ia boleh menyebabkan iritasi kulit, kegatalan atau pengelupasan.
Sebagai alternatif, gunakan brow gel berwarna yang mampu membentuk serta memberi ilusi kening lebih penuh tanpa risiko kerosakan kulit.
7. Face Taping
Melibatkan pita pelekat di dahi, rahang atau bawah mata bagi mengurangkan kedutan atau mengangkat wajah.
Walaupun popular, ia boleh menyakitkan, merosakkan lapisan kulit dan hanya memberi kesan sementara.
Pilihan lebih selamat ialah serum retinol untuk meningkatkan penghasilan kolagen dan mengurangkan garis halus secara beransur-ansur.
Tidak semua trend tular di TikTok patut diikuti. Banyak daripadanya hanya memberi kesan sementara, malah boleh mendatangkan mudarat.
Kunci sebenar untuk tampil sihat dan berseri bukan pada eksperimen pelik, tetapi pada rutin penjagaan kulit yang konsisten, ringkas dan selamat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram