'Pengajaran buat para suami, jangan abaikan penama harta', isteri 5 anak tergamam dapat tahu arwah suami ada hutang RM300,000, tanggung beban sendirian


  • Cinta
  • Khamis, 02 Okt 2025

Seorang wanita tergamam apabila mengetahui suaminya meninggalkan RM300,000 hutang selepas meninggal dunia. . — Gambar Hiasan

KEHIDUPAN seorang wanita berubah sekelip mata selepas pemergian suami tercinta yang bekerja di sektor offshore, meninggalkan dirinya bersama lima anak menanggung bebanan hutang. 

Wanita berusia 30-an itu mengimbas kembali kenangan manis bersama arwah yang berpendapatan sekitar RM20,000 sebulan.

Manakala dirinya sendiri bekerja sebagai pegawai di Pejabat Perikanan dengan gaji RM5,000.

BACA LAGI: Elyana terus cekal jalani kemoterapi, cinta suami, kasih sayang anak-anak sumber kekuatan lawan kanser

BACA LAGI: Nenek sempoi 'join' anak main 'skateboard', tak kekok pamer gaya bebas

Sepanjang tempoh perkahwinan, pasangan itu mengamalkan peraturan kewangan sendiri iaitu segala keperluan peribadi ditanggung oleh diri masing-masing. 

Namun, tatkala suami berada di tengah laut, wanita itu sering memikul tanggungjawab membiayai perbelanjaan harian keluarga.

“Suami ada beri duit bulanan, tetapi tidak sepenuhnya kerana dia juga perlu menanggung ibu bapa dan adik-adiknya. Saya faham situasi itu,” luahnya.

Segalanya berubah selepas pemergian arwah. Wanita itu terkejut apabila mengetahui hampir semua harta dinamakan kepada anak-anak dan ibu mertua, sementara dirinya hanya menerima simpanan kurang daripada RM10,000.

Seorang wanita sedih mengetahui arwah suaminya meninggalkan dirinya dan anak-anak dengan bebanan hutang ribuan ringgit. —  Gambar Hiasan

Lebih memilukan, arwah meninggalkan hutang mencecah RM300,000 termasuk kad kredit, pinjaman peribadi, kereta dan rumah tanpa perlindungan insurans sebagai sandaran.

“Setiap bulan, bank menghantar surat menuntut bayaran. Saya tiada pilihan selain meneruskan pembayaran hutang termasuk rumah kerana ia tempat berteduh kami sekeluarga,” katanya.

Biarpun cuba mendapatkan bantuan daripada ibu mertua, beliau hanya menerima RM500 sebulan iaitu jumlah yang jauh daripada mencukupi untuk menanggung makan minum dan persekolahan lima orang anak, apatah lagi melunaskan hutang yang ditinggalkan.

Lebih mengecewakan, hubungan baik dengan keluarga mertua semakin renggang selepas kejadian itu. 

Katanya, adik-beradik suami yang mempunyai pekerjaan baik juga seolah-olah menganggap dirinya mampu berdikari dengan kerjayanya.

"Saya reda. Barang kemas sudah habis dijual, simpanan ASB pula digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang suami. 

"Hidup kini sekadar mampu menyediakan beras, susu, pampers, bihun, telur dan biskut untuk anak-anak,” ujarnya lagi.

Wanita itu turut mengingatkan para suami di luar sana agar lebih berhati-hati sewaktu meletakkan penama harta. 

Katanya, keutamaan seharusnya diberikan kepada isteri dan anak-anak yang menjadi sandaran selepas ketiadaan mereka.

"Fikirkan siapa yang benar-benar berkorban bersama anda, siapa yang mengurus anak ketika anda tiada. 

"Jangan biarkan isteri menanggung hutang selepas pemergian. Pengalaman saya ini cukup untuk menjadi pengajaran,” katanya.

Meskipun berdepan kesusahan, wanita itu tetap menzahirkan rasa cinta yang tidak pernah pudar terhadap arwah suaminya.

“Saya tetap sayangkan arwah. Dialah syurga saya, walaupun kini saya yang terpaksa menanggung segalanya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram