Produk organik dari Kelantan cipta sejarah 'selamatkan' Kota Makkah, pengasas Al-Muslih tak pernah lupa penat lelah menjaja di pasar tani


  • Bisnes
  • Jumaat, 26 Sep 2025

Azmi (kanan) menjalankan perniagaan dengan sokongan dan bantuan ahli keluarganya.

GAGAL sekali bukanlah bermakna jatuh selamanya.

Berbekalkan pengalaman, semangat dan keyakinan, Azmi Abdul Jalil kini berjaya mengangkat nama Al-Muslih Legacy Sdn Bhd hingga ke persada dunia.

Bangkit daripada kegagalannya, pesara kerajaan itu nekad memperkenalkan produk ikonik iaitu semburan organik serba guna sejak 2016.

BACA LAGI: Tanam hasrat belajar bahasa isyarat lepas terima pelanggan bisu, pekak, tetap 'komunikasi' sedaya mampu

BACA LAGI: Produk Muslim dari Perak kini ke pasaran Eropah dan AS, Sertu DIY inovasi mudah penjagaan kebersihan diri

Antara rangkaian produk yang dikeluarkan di bawah jenama Al-Muslih.

Dengar seperti mudah namun, Azmi tidak menafikan permulaan memperkenalkan produknya begitu sulit dalam masa tiga tahun pertama.

Kata lelaki berusia 66 tahun itu, mentaliti masyarakat yang ketika itu masih bergantung pada bahan kimia lebih menyukarkan pasaran produk organiknya.

"Bila sebut serangga, mereka hanya nampak tin seburan beracun sebagai jalan penyelesaian," katanya kepada Majoriti.

Rezeki di Shanghai

Walaupun terpaksa menjaja dari satu pasar tani ke pasar tani, Azmi tidak berputus asa untuk terus mempertahankan perniagaannya.

Segalanya berubah selepas Azmi bertemu dengan seorang rakannya yang pernah bertugas di kedutaan besar Malaysia ke China.

"Pada 2018 saya ditawarkan untuk hadir ke Winter Expo di Shanghai dan Guangzhou dan bawa produk sekali.

"Sambutan masyarakat China pada waktu itu lebih terbuka terhadap produk organik.

"Tak sangka permintaan juga sangat tinggi dari beberapa buah negara termasuk Taiwan, Korea dan sekitarnya.

"Alhamdulillah, sejak itu saya dapat semula semangat untuk bina perniagaan ini," jelasnya.

Ramuan menggunakan 100 peratus bahan organik.  — Facebook/Al-Muslih

Setahun kemudian, produk semburan organik Al-Muslih mula menembusi pasaran Eropah melalui pameran London, United Kingdom (UK).

Bagi menjaga nama baik syarikatnya, Azmi memutuskan untuk menukar nama produknya sementara apabila dijual di pasaran Barat.

Katanya, ia bagi menjaga sensitiviti terhadap perkataan berunsur Islam di negara tersebut.

Dengan usahanya, produknya boleh didapati di Perancis, Kanada dan UK.

Keajaiban berlaku di Makkah dan Madinah

Ditanya pula tentang momen tidak dapat dilupakan sepanjang lebih lima tahun membawa jenama Al-Muslih.

Katanya, Tanah Suci Makkah dan Madinah menjadi saksinya.

"Momen paling bersejarah adalah pada 2019 ketika kawasan kota Makkah dilanda serangga hitam yang banyak.

"Waktu itu, produk kimia gagal mengekang situasi di Masjidil Haram sehinggalah ada yang perkenalkan produk Al-Muslih ke Jeddah, Arab Saudi.

"Alhamdulillah selepas dua hari mereka semburkan di seluruh kawasan tersebut, semua serangga hitam sudah tak ada.

"Bermula saat itu, kerajaan Arab Saudi guna semburan ini sehingga sekarang termasuk dalam Masjid Nabawi, Madinah," ujarnya.

Semburan Al-Muslih menjadi penyelamat serangan serangga di kota Makkah.  — Facebook/Al-Muslih

Tambahnya, apa yang membezakan semburannya dengan produk lain adalah bahan organik digunakannya.

Kesemua bahan adalah berasaskan tumbuh-tumbuhan semula jadi seperti bawang putih, halia dan pati bunga mawar.

"Secara saintifiknya, pati bunga mawar mempunyai frekuensi setinggi 380 MHz yang mampu menolak unsur negati dan serangga.

"Kalau sembur sekali di meja makan, kesannya boleh bertahan sehingga sebulan," katanya.

Bantu komuniti kampung

Menariknya, jenama Al-Muslih masih dikendalikan dari rumahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Tidak berusaha sendirian, Azmi memutuskan untuk bekerja bersama ahli keluarga lain termasuk jiran tetangganya.

Perniagaan Azmi kini merentasi pasaran global. — Facebook/Al-Muslih

Baginya, perniagaan yang bagus adalah dapat berkongsi rezeki bersama masyarakat.

"Ada juga yang tawarkan untuk kami buka kilang dan upah pekerja. Ianya juga selamat sebab kalau beracun, saya tak bagi cucu enam tahun saya isi cecairnya dalam botol.

"Tetapi, kalau buka kilang besar, orang kampung perlu tinggalkan rumah seawal pagi dan hujung bulan baru dapat gaji.

"Tetapi, bila buat di rumah dan panggil sesiapa yang mahu bekerja sambilan, mereka dapat uruskan keluarga lebih fleksibel dan dapat upah harian," jelasnya.

Azmi mengambil konsep yang diinspirasikan daripada budaya di Jepun iaitu satu kampung, satu industri.

Kini, Al-Muslih mempunyai tujuh rangkaian produk selain semburan organik iaitu sabun wajah ekstrak mawar dan sacha ichi; bidara dan limau purut serta mawah dan sirih.

"Ini bukan sekadar bisnes. Ia fardu kifayah. Tanggungjawab untuk kita hentikan racun kimia, dan kembali kepada ciptaan Tuhan yang asli," tekannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram