
DALAM era persaingan sengit mencari pekerjaan masa kini, ramai graduan dan pencari kerja sering terperangkap dengan dilema sama ada mahu memilih kerja bergaji tetap tetapi biasa-biasa sahaja.
Malah, persaingan sengit dalam dunia kerjaya membuatkan ramai yang terpaksa berhempas pulas mendapatkan peluang, meskipun gaji yang ditawarkan tidak seberapa.
Namun, perkongsian seorang jurutera di laman Facebook milik Hamizi Hamdan seakan membuka mata tentang satu peluang kerjaya yang jarang disedari masyarakat.
BACA LAGI: [VIDEO] Lori 'terbang' tanpa pemandu, bayi maut, 8 parah nahas 4 kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang
Menurutnya, tidak semestinya perlu memiliki kelulusan tinggi untuk meraih pendapatan lumayan.
Cukuplah dengan mengambil lesen mengendalikan jentera berat seperti penggali, jentolak, kren bergerak dan kren menara kerana di tapak projek, permintaan terhadap operator mesin ini sangat tinggi.
Jelas Hamizi yang yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Five Marketing Sdn Bhd, gaji seorang operator jentera bermula sekitar RM2,500 sebulan, malah ada yang mencecah lebih tinggi terutama bagi operator kren.
"Ini ramai orang tak tahu. Kalau kamu tiada kelulusan tinggi, ambil lesen bawa jentera seperti excavator, backhoe, mobile crane, tower crane dan lain-lain.
"Banyak mesin yang boleh digunakan di tapak projek. Gaji mereka minima RM2,500 tapi ada yang lagi besar (macam operator kren). Itu belum sekali ditambah dengan kerja lebih masa.
"Setakat nak dapat RM5,000 hingga RM10,000 sebulan memang selamba.
"Operator kren bergerak bersaiz besar melebihi 45 tan yang kita lihat bergerak perlahan diiringi pengiring di jalan raya, misalnya, menikmati bayaran gaji yang jauh lebih mahal mengatasi seorang pengurus," tulisnya.
Tambah Hamizi lagi, tidak cukup dengan itu, pemilik kren pula mampu mengenakan caj kepada pelanggan sehingga puluhan ribu ringgit sehari.
Namun, kata Hamizi, pekerjaan tersebut hadir dengan cabarannya yang tersendiri.
"Ini kerja tak glamour dan sibuk. Tak ada masa nak layan sosial media semasa bekerja. Takde aircond dan bekerja dalam keadan panas. Tak ada masa nak 'mengular' kerana ramai yang cari.
"Kulit jadi hitam. Tak adanya nak ala-ala Korea.
"Tapi kalau alasan takde duit nak ambik lesen, cubalah usaha sikit-sikit kumpul modal demi masa depan.
“Tetapi jika alasan tidak mempunyai wang untuk mengambil lesen menjadi penghalang, cubalah berusaha sedikit demi sedikit mengumpul modal demi masa depan,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian Hamizi itu mendapat respon yang positif.
Seorang warga maya, Murat Photomurals berpendapat, tidak menjadi masalah jika kulit menjadi gelap akibat bekerja di bawah panas terik.
“Kalau gaji RM10,000 tu, boleh kumpul duit dan bila umur 40, ambil cuti seminggu hujung tahun. Pergi melancong ke negara yang bersalji tebal macam Korea, Jepun atau Kashmir. Seminggu cukup untuk main salji puas-puas, kulit pun boleh putih sikit-sikit,” tulisnya di ruangan komen.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram