Sejarah transaksi isi minyak boleh disemak di portal BUDI95 — MOF


  • Massa
  • Isnin, 29 Sep 2025

Sebanyak 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan subsidi RON95 sejak dilancarkan pada 25 September lalu. — Gambar Hiasan

ORANG awam boleh menyemak sejarah transaksi pembelian petrol bersubsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) secara terus melalui portal rasmi sistem itu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, ciri semakan sejarah transaksi diperkenalkan bagi memudahkan pengguna memantau pembelian petrol mereka selain memastikan ketelusan pelaksanaan subsidi bersasar.

Untuk mengakses ciri tersebut, pengguna perlu mendaftar dan log masuk menggunakan MyDigital ID yang berfungsi sebagai lapisan keselamatan tambahan bagi melindungi identiti digital serta maklumat peribadi rakyat.

BACA LAGI : [VIDEO] Panduan lengkap guna aplikasi isi minyak, e-wallet beli petrol subsidi Budi Madani RON95

BACA LAGI: BUDI95 mampu proses 30,000 transaksi seminit, nelayan, pekebun tiada lesen memandu boleh kemuka rayuan

Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September lalu, sebanyak 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan subsidi RON95.

Bermula Selasa, sistem subsidi bersasar itu akan diperluaskan kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.

Dalam pada itu, MOF turut menasihati orang ramai supaya memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat, termasuk penggunaan nombor MyKad 12 digit, nama pemegang lesen serta kelas dan jenis kenderaan.

Sebarang ketidakselarasan data boleh dikemas kini di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengelakkan masalah pengesahan kelayakan ketika membuat pembelian di stesen minyak

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal rasmi www.budimadani.gov.my atau talian bantuan di 1-300-88-9595. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram