[VIDEO] Umur baru 7 tahun, budak genius tahap IQ 154 sudah belajar kimia di universiti terkemuka Singapura


  • Benua
  • Isnin, 29 Sep 2025

Theodore Kwan (tengah), kanak-kanak pintar dengan IQ 154 yang kini mencuri perhatian apabila menjadi 'tetamu istimewa' di kuliah Kimia asas di NTU Singapura.— Agensi

PADA usia kanak-kanak lain masih leka dengan permainan, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun di Singapura sudah pun duduk di bangku kuliah universiti, menelaah ilmu kimia bersama mahasiswa jauh lebih dewasa daripadanya.

Theodore Kwan, kanak-kanak pintar dengan IQ 154 yang kini mencuri perhatian apabila menjadi ‘tetamu istimewa’ di kuliah Kimia asas di Nanyang Technological University (NTU).

Kanak-kanak pintar dengan IQ 154 itu hadir ke NTU tiga kali seminggu bersama ibu atau bapanya untuk mendengar kuliah asas kimia selama satu hingga dua jam, sebagai tetamu pensyarah kanan, Dr Sumod Pullarkat.

BACA LAGI: Hanya belajar di rumah, budak autisme 12 tahun dapat pendidikan awal di UM sambung legasi genius Matematik macam Adi Putra

BACA LAGI: [VIDEO] Pandai membaca seawal usia 2 tahun, budak genius kini ikuti kelas Neurosains di AS

Theodore bukan pelajar berdaftar dan tidak menduduki ujian atau mengikuti sesi makmal.

Sebaliknya, dia hadir semata-mata untuk mempelajari konsep kimia peringkat tinggi seperti teori orbital molekul yang menggunakan mekanik kuantum bagi menjelaskan tingkah laku elektron.

Awal tahun ini, Theodore mencipta sejarah apabila menjadi individu termuda di Singapura yang memperoleh gred A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi mata pelajaran Kimia pada usia enam tahun 10 bulan.

Setakat ini, dia memegang lima rekod kebangsaan, termasuk sebagai peserta termuda yang mendapat markah penuh dalam Olimpik Sains.

Timbalan Presiden merangkap Provost NTU, Prof Christian Wolfrum berkata, universiti itu terbuka kepada semua bakat tanpa mengira usia.

“Walaupun Theodore bukan pelajar berdaftar, kami gembira dapat menyalakan minatnya terhadap kimia. Kehadirannya juga mewujudkan suasana pembelajaran baharu yang memberi manfaat kepada pelajar lain,” katanya.

Beliau menegaskan bakat perlu dipupuk sejak awal kerana ia mampu memberi impak besar kepada masyarakat pada masa depan.

Dorongan ibu dan pensyarah

Ibu Theodore, Crystal Tang yang juga pelajar PhD di sekolah perubatan NTU, mengajar sendiri Theodore dan adik perempuannya di rumah.

Crystal berkata, anaknya sangat dahagakan ilmu sehingga meminta peluang mempelajari kimia pada tahap lebih tinggi.

Kesempatan itu hadir apabila Dr Pullarkat mengetahui minatnya dan menjemput Theodore menghadiri kuliah sebagai tetamu.

“Theodore kini berpeluang meneroka topik peringkat lebih tinggi tanpa perlu menduduki peperiksaan atau penilaian,” kata Dr Pullarkat.

Setiap Khamis, Theodore duduk di barisan hadapan dewan kuliah bersama pelajar universiti yang kini menjadi rakan baharunya. Dia aktif menjawab soalan pensyarah dan berinteraksi dengan pelajar lain.

Bagi Theodore, menghadiri kuliah di NTU adalah impian yang menjadi kenyataan. Malah, selepas sesi pertamanya, dia terus bertanya kepada ibunya sama ada boleh hadir setiap hari dan tinggal di kampus berkenaan.

Pelajar NTU, Constance Han berkata, kehadiran Theodore menceriakan kuliah mereka.

“Senyumannya yang ceria serta kepetahannya berbicara menjadikan suasana kelas lebih hidup. Melihat dia begitu gembira belajar turut memberi semangat kepada saya,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram