
PENYASARAN subsidi petrol menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) menerima respons bercampur baur daripada penerima dengan ada yang berpuas hati sementara sesetengah yang lain terus menyuarakan rasa kurang senang.
Isu terbesar yang dikongsikan di media sosial adalah bagaimana pengguna perlu menunjukkan MyKad ketika melakukan pembelian yang sudah tentu membebankan.
Masalah lain turut dibincangkan apabila pengguna terkejut kerana kadar ditunjukkan di pam masing-masing menyaksikan mereka perlu membayar RM2.60 bagi setiap liter RON95.
BACA LAGI: Hampir 150,000 penerima BUDI95 belum kemas kini maklumat lesen, masih pakai nombor IC lama
BACA LAGI: Masih keliru antara BUDI95-MySARA, petugas stesen minyak tenangkan wanita panik, belum masuk gaji
Penerima yang layak hanya perlu membayar RM1.99 untuk setiap liter RON95 berbanding RM2.60.
Harga tersebut sememangnya mengejutkan memandangkan bahan bakar bersubsidi ditetapkan pada harga RM1.99 bagi semua warganegara yang memegang lesen memandu sah.
Bagaimanapun, bagi menjawab kekeliruan itu, pengguna Facebook menerusi akaun Abang Japar menyatakan ia hanyalah satu kelemahan dari segi sistem BUDI95.
Dia yang membuat pembayaran menggunakan kad kredit mendapati penebusan subsidi itu memudahkan dengan sistem sentuhan MyKad untuk mengetahui kelayakan berjalan lancar.
"Tetapi, kita mahu mula membuat pengisian, keluar pula harga penuh di skrin. Kelam kabut tengok RM2.60 seliter. Bayangkan jika pengguna tidak perasan, ingatkan tidak terima subsidi. Rupanya, apabila dilihat pada resit, baru nampak perbezaan.
"Kelemahan sistem ini mudah sahaja sebenarnya, indikator pam tidak tunjukkan harga subsidi. Sepatutnya apabila sudah sentuh MyKad, terus harga subsidi keluar. Barulah ia akan jelas, tidak mengelirukan dan pengguna berasa yakin," tulisnya.
Pengguna tersebut turut menyertakan resit menunjukkan terdapat kadar ditolak dari harga asal dengan subsidi ditetapkan kerajaan mengurangkan beban penerima.
Kementerian Kewangan sebelum ini menjelaskan penerima juga boleh menggunakan aplikasi ditetapkan untuk mengisi bahan bakar itu tanpa perlu menyentuh MyKad di pam.
Alternatif tersebut sememangnya memudahkan, namun pengguna masih berasa janggal akan kemudahan terbabit yang sekali gus membuatkan rata-rata kurang senang dengan program BUDI95. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram