Kelayakan BUDI95 dah boleh disemak, ada 4 sebab anda mungkin 'terlepas' harga subsidi RM1.99


  • Bisnes
  • Khamis, 25 Sep 2025

Semakan kelayakan untuk menerima subsidi petrol BUDI95 sudah boleh dibuat pada Khamis.

ORANG ramai kini boleh membuat semakan kelayakan untuk menerima subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Anda boleh melayari portal rasmi inisiatif berkenaan untuk semakan profil kelayakan dan baki penggunaan subsidi bulanan.

Di laman web itu, anda hanya perlu memasukkan nombor MyKad dan klik tekan butang 'Semak Kelayakan'.

BACA LAGI: Panduan lengkap guna aplikasi isi minyak, e-wallet beli petrol subsidi Budi Madani RON95

BACA LAGI: Kuota 300 liter RON95 sebulan mencukupi, 'cover' 170km perjalanan sehari — Amir Hamzah

A petrol station staff checking IC at Petronas station in Bandar Kinrara.Photo for the story Mykad for the RON95 subsidary..—AZHAR MAHFOF/The Star

Pengguna disarankan menyemak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu sah menerusi mekanisme penggunaan BUDI95. — AZHAR MAHFOF/The Star

Paparan skrin akan menunjukkan sama ada anda layak atau tidak menerima subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99.

Secara umumnya, semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak menerima subsidi BUDI95.

Namun, ada segelintir individu mungkin terlepas daripada menikmati penyasaran subsidi RON95 atas sebab tertentu.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, antara sebab ketidaklayakan adalah:

1. Lesen memandu tidak aktif berdasarkan rekod agensi.

2. Lesen memandu bukan daripada Kelas dan Jenis lesen yang diluluskan.

3. Tiada rekod MyKad dalam data agensi atau nombor MyKad memerlukan semakan lanjut.

4. Tidak tersenarai sebagai pemegang MyKad dengan lesen memandu aktif kereta atau motosikal berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Antara contoh situasi ketidaklayakan termasuklah memiliki lesen memandu Singapura. 

Selain itu, rakyat yang gagal memperbaharui lesen memandu lebih dari tiga tahun tidak layak menerima subsidi petrol RON95. Mereka perlu menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) jika ingin mengaktifkan semula lesen.

Sekiranya berdepan dengan mana-mana status ini, individu terbabit diminta hadir ke JPJ berdekatan untuk tujuan semakan lanjut atau kemas kini maklumat.

Berdasarkan Soalan Lazim Penyasaran Subsidi RON95, semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif LAYAK menerima BUDI95.

Antara kategori lesen yang diterima termasuk:

1. Lesen Kompeten (CDL) bagi kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA.

2. Lesen Percubaan (PDL) bagi kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA.

3. Lesen Belajar Memandu (LDL) bagi kelas kenderaan A, B, B1, B2 dan C.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan dilakukan secara automatik menggunakan nombor kad pengenalan tanpa perlu pendaftaran baharu.

Kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pemansuhan subsidi pukal, yang akan disalurkan semula kepada bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595 mulai pukul 9 pagi Khamis.

Layari www.budimadani.gov.my untuk semakan lanjut. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram