Kalah lagi di Liga Super, Selangor dibimbangi mula hilang peluang di pentas Asia


  • Podium
  • Ahad, 21 Sep 2025

Skuad Gergasi Merah ditundukkan Kuching City FC dalam pertembungan di tempat lawan. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC sekali lagi mengalami kekalahan di pentas Liga Super ketika bertandang ke Stadium Negeri Sarawak untuk berdepan Kuching City FC pada Ahad.

Gol tunggal perlawanan Ramadhan Saifullah memastikan skuad The Cats meraih tiga mata penuh yang sekali gus menyaksikan pasukan pelawat pulang dengan tangan kosong.

Ini merupakan kekalahan ketiga Liga Super buat Selangor FC selepas turut tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi pembukaan dan kemudiannya ditundukkan Negeri Sembilan FC.

BACA LAGI: Buriram United akan pastikan Selangor bertambah kuat — Kinoshi

BACA LAGI: Kem Selangor dilanda kecederaan, Kinoshi 'push' anak-anak buah lebih keras

Skuad Gergasi Merah turut tewas dalam aksi terakhir di laman sendiri. Facebook/Selangor FC

Lebih teruk lagi, skuad Gergasi Merah turut dimalukan baru-baru ini ketika menerima kunjungan Bangkok United di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two yang berakhir dengan keputusan 2-4 menceritakan situasi buruk dihadapi pasukan.

Prestasi mengecewakan itu mula membuatkan penyokong sekali lagi mendesak agar pihak pengurusan memberi jawapan berhubung perancangan kelab yang masih tidak jelas.

Persoalan turut diajukan kepada ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi yang terus gagal menerapkan gaya permainan positif untuk menjadikan skuad Gergasi Merah pencabar utama musim ini.

"Kalau sebegini lah gaya permainannya, boleh ucap selamat tinggal kepada ACL Two. Setiap tahun tiada perubahan yang bagus dan pembelian import hanya sia-sia. Akhirnya, semua tak boleh pakai.

Kinoshi (kanan) perlu memberi penjelasan berhubung prestasi merudum pasukannya. Facebook/Selangor FC

"Alasan apa lagi coach Kino? Sebab keletihan tidak cukup rehat atau main waktu petang. Lupa, menang kalah gaji akan tetap pada masa. Ini yang anda semua mahu sebenarnya," kata Bunga Mekar.

"Pasukan Selangor paling teruk sepanjang zaman, tiada ciri-ciri Gergasi Merah langsung. Nanti ada yang komen 'Tak boleh sokong ketika kalah, jangan sokong semasa menang," kata Hilang Dalam Terang.

"Maaf, pada saya coach Kino tidak layak untuk Selangor. Selangor adalah pasukan besar yang perlu cari jurulatih terbukti. Bukannya hanya bekas jurulatih kecergasan," kata Jamal Iswan.

Desakan sebegitu sudah kerap didengari di media sosial, namun tiada sebarang perubahan disaksikan dengan pihak pengurusan terus berdiam diri setiap kali diajukan persoalan.

Sekiranya masalah sedemikian berterusan, peluang Selangor FC melayakkan diri ke pentas Asia musim depan semakin tipis, lebih-lebih lagi dengan kebangkitan pasukan tempatan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram