Harimau Malaya sandar aura penyokong di Kuantan


  • Podium
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Sesi latihan rasmi skuad futsal Harimau Malaya di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan pada Jumaat. — Facebook FAM

PUSINGAN Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 yang berlangsung selama lima hari di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan dekat Kuantan, Pahang pada Sabtu, menjadi pentas terbaik untuk menunjukkan kepada dunia bahawa penyokong futsal terbaik ada di Malaysia.

Presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Fahad Mua'adzam Shah Ibni Sultan Ahmad Shah yang memainkan peranan penting membawa kempen kelayakan itu ke bumi Pahang, menegaskan suara penyokong adalah instrumen utama buat skuad kebangsaan.

Katanya, Malaysia akan membuka tirai saingan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum berdepan Bangladesh pada 22 September dan menutup aksi Kumpulan G menentang gergasi Asia, Iran pada 24 September.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat Arif Aiman 'hilang', ini 3 lagi kesilapan besar Xisco Munoz

BACA LAGI: [VIDEO] 'Apa sudah jadi Lira? Sedangkan bek JDT-Selangor pun sudah skor walaupun kali pertama beraksi Liga Super'

“Apabila kita dapat menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa, ia hadir bersama penghargaan dan pengiktirafan.

"Ia tidak sekadar mengukuhkan status SUKPA sebagai venue futsal terulung, dan mengetengahkan Kuantan sebagai hub sukan, tetapi lebih dari itu menunjukkan kepada dunia suara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tengku Fahad yakin dengan kemampuan anak buah Rakphol Sainetngam. 

Justeru itu, Tengku Fahad turut menyeru penyokong untuk memeriahkan perlawanan tersebut.

“Mesej saya kepada penyokong Pahang, datang dan tunjukkan semangat serta keghairahan, buktikan betapa kuatnya suara anda.

"Sepertimana anda telah menjadikan arena futsal satu fenomena. Sokongan anda semua akan membakar dan menyemarakkan semangat pemain, jadi datang dan berjuang bersama mereka. Ini adalah rumah kita, dan Insya-ALLAH, kempen (kelayakan) ini akan menjadi milik kita,” katanya.

Tambah beliau lagi, menjadi tuan rumah kepada pasukan kuasa besar futsal bukan sahaja menarik minat penyokong setia di Pahang, malah turut memberi keterujaan kepada penyokong baharu.

“Ia memberi peluang kepada mereka yang ingin menyaksikan futsal buat pertama kali atau hadir untuk melihat pasukan-pasukan kebangsaan beraksi.

"Mereka bukan sahaja akan menyaksikan futsal tahap tertinggi, tetapi turut mengalami pertukaran budaya yang melambangkan ikatan antara Pahang, Malaysia serta negara-negara yang mengambil bahagian,” ujarnya.

Mengenai peluang Harimau Malaya mara ke Piala Asia pada Januari depan, Tengku Fahad yang juga Ahli Jawatankuasa Futsal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yakin dengan kemampuan anak buah Rakphol Sainetngam.

“Malaysia Boleh! Saya percaya kita akan memberi satu tentangan hebat dan berintensiti tinggi.

"Kita tahu pasukan yang hadir adalah kuat serta bereputasi tinggi dan kita menghormati mereka, tetapi Malaysia dikenali sebagai pasukan yang bukan mudah menyerah.

“Pemain-pemain kita akan bermain dengan sepenuh hati dan beraksi di SUKPA memberikan kita satu keyakinan tambahan. Harapan saya, kita akan berada dalam kelompok 16 terbaik Asia,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram