Mahu jadi pencabar? Terengganu perlu buktikan diri setiap kali berdepan 'big boys'


  • Podium
  • Isnin, 22 Sep 2025

Skuad Sang Penyu masih bergelut setiap kali berdepan pasukan lebih baik. — Facebook/Terengganu FC

SEBUAH lagi kemenangan selesa dicatatkan Terengganu FC apabila mereka menerima kunjungan Melaka FC di laman sendiri bagi aksi Liga Super 2025/26 pada Jumaat lalu.

Anak-anak buah Badrul Afzan Razali jelas tidak 'berhati perut' dalam perlawanan itu selepas menjaringkan empat gol pada 45 minit pertama permainan.

Kelebihan seorang pemain bagaimanapun gagal dimanfaatkan secara penuh selepas pasukan pelawat terpaksa beraksi 10 orang susulan layangan kad merah terhadap Che Rashid Che Halim.

BACA LAGI: [VIDEO] Masihkah anda ingat? Sang Penyu pamer aksi '5 bintang' kali terakhir layan kunjungan Melaka

BACA LAGI: Sentuhan Badrul Afzan terus ditagih, kekal kemudi skuad Peteh musim depan

Skuad Sang Penyu berpesta gol ketika menerima kunjungan Melaka FC. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, empat gol sudah cukup untuk menceritakan ketajaman jentera serangan Terengganu FC dengan Yann Mabella meledak dua gol sementara Nurillo Tukhtasinov dan Careca turut berada dalam senarai penjaring.

Ini merupakan perlawanan keempat yang menyaksikan skuad Sang Penyu meledak sekurang-kurangnya tiga gol selepas turut berbuat demikian ketika bertemu Penang FC dan DPMM FC dalam aksi Liga Super.

Di samping itu, kelab Pantai Timur itu menampilkan ketajaman di barisan hadapan dalam aksi timbal balik Piala FA menentang Imigresen FC yang membantu mereka mara ke suku akhir menerusi agregat 4-2.

Jelas, perancangan Badrul Afzan mula membuahkan hasil kerana mereka hanya di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dari segi kedudukan dalam liga.

Tidak terhenti di situ, skuad Sang Penyu turut menduduki kedudukan kedua dalam jumlah jaringan gol dengan angka terkini hanya diatasi juara bertahan Liga Super berkenaan.

Kekalahan di MBPJ mendedahkan pelbagai kelemahan skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Tetapi, itu sahaja belum cukup untuk menjadikan Terengganu FC pencabar serius kepada takhta musim ini kerana situasi berbeza dialami semasa berdepan pasukan lebih baik.

Selepas kira-kira sebulan setengah saingan Liga Super 2025/26 berlangsung, pasukan tersebut belum diuji dengan baik apabila perlawanan berdepan Selangor FC pada 27 Ogos lalu merupakan aksi paling mencabar.

Malah, pertembungan di Stadium MBPJ, Selangor tersebut mendedahkan pelbagai kelemahan Terengganu FC, terutamanya dari segi pertahanan selepas mereka dibolosi lima kali.

Meskipun pulang dengan dua gol saguhati daripada Gabriel Silva dan Junior Ngong Sam, mereka yang pulang tanpa sebarang mata sudah tentu mengakui perlawanan itu begitu mengecewakan.

Jadi, sekiranya skuad Sang Penyu mahu meletakkan diri sebagai pencabar utama, pasukan itu perlu membuktikan bahawa setiap lawan dapat diatasi.

Perlawanan menentang KL City FC peluang skuad Sang Penyu membuktikan diri. Facebook/Terengganu FC

Penyokong sudah tentu mengakui aksi berdepan JDT bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia tidak menjadi alasan buat Terengganu FC untuk mengibar bendera putih terlalu awal.

Selain itu, perlawanan mencabar lain seperti pertembungan akan datang menentang Kuala Lumpur (KL) City FC serta aksi suku akhir Piala FA berdepan Kuching City FC boleh menjadi titik perubahan buat skuad Sang Penyu.

Sekiranya mereka dapat melepasi ujian itu, peminat setia pasti akan mengangkat pasukan bimbingan Badrul Afzan itu sebagai pesaing utama musim ini.

Meskipun sukar untuk merampas takhta Liga Super dari JDT, penamat di tangga kedua sudah cukup memandangkan slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two dan Piala Shopee akan menjadi milik Terengganu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram