‘Itu yang lama tak kena bayar’, pengunjung Pantai Marang nafi tandas rosak, tersumbat


  • Massa
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Aduan berhubung kerosakan tandas sudah tentu merencatkan imej Pantai Pulau Kekabu di Marang, Terengganu.

MASALAH infrastruktur kerap melanda kawasan pelancongan dalam negara dengan pengunjung terpaksa membuat aduan di media sosial bagi menceritakan setiap bentuk permasalahan yang timbul.

Keluhan sedemikian dibuat pengunjung dengan harapan pihak bertanggungjawab dapat membaiki setiap kemudahan demi keselesaan orang ramai.

Tetapi, jika tiada sebarang tindakan diambil, jumlah kehadiran di lokasi pelancongan itu akan terjejas, sekali gus meruntuhkan ekonomi di sesebuah kawasan.

BACA LAGI: Rumah tradisional nelayan hiasi Pantai Kampung Jambu Bongkok

BACA LAGI: Skuba di Terengganu boleh jumpa ikan yu paus? Pulau Tegol ada jawapannya

Kerosakan kemudahan awam seperti tandas boleh menjejaskan kehadiran pelancong.

Baru-baru ini, sebuah aduan dimuat naik di laman Facebook Viral Media Terengganu menyatakan tandas di Pantai Pulau Kekabu dekat Marang, Terengganu mengalami kerosakan.

"Ini tandas di Pantai Kekabu, Marang yang digunakan pelancong datang dari luar atau dalam negeri. Tandas disediakan rosak dan yang dikhaskan buat orang kelainan upaya (OKU) juga tersumbat.

"Tolonglah pihak berwajib, tengok kalendar ketika waktu kemuncak untuk pulihkan segera tandas awam dan begitu juga kemudahan awam di lokasi lain seperti surau dan muzium sekitar Kuala Terengganu," tulisnya.

Pantai di negeri Pantai Timur itu sememangnya sebuah tarikan utama apabila pelancong kerap memilih destinasi berkenaan sebagai destinasi impian, terutamanya ketika cuti persekolahan.

Meskipun terdapat beberapa pantai yang tidak mengalami masalah, hantaran di Facebook itu menceritakan bagaimana pihak berkuasa kadang-kala terlepas pandang.

Tandas awam yang dikatakan rosak hanya digunakan nelayan dan penduduk setempat. Facebook/Viral Media Terengganu

Bagaimanapun, bagi sesetengah pengunjung, isu diutarakan pemilik media sosial terbabit kurang tepat kerana masalah tandas di kawasan peranginan terbabit tidaklah seteruk apa disampaikan.

"Ini hanyalah tandas untuk surau di kawasan itu, bukannya tandas awam. Kalau boleh, nak suka hati sahaja memuat naik hantaran di media sosial," kata Wan Mohd Fathu Rahim.

"Bila pula rosak? Saya baru sahaja pergi tiada sebarang kerosakan pun di tandas awam yang perlu dibayar. Setahu saya, ini milik surau berhampiran dan kerap digunakan nelayan," tulis Mustaqiimah Hadi.

"Ini adalah tandas lama. Tandas awam berada di tempat lain dan cantik sahaja, nak masuk pengunjung wajib bayar," kata Aiman Emang.

Hantaran balas tersebut menceritakan bagaimana infrastruktur di pantai tersebut masih terjaga kerana terdapat penjaga yang mengenakan bayaran.

Ini sekali gus memastikan kawasan pelancongan yang terkenal dengan pantai putih dan air laut jernih itu masih menjadi pilihan buat pelancong di Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram